Pota: Kenapa BN tidak rujuk kepada Suhakam?

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang berperanan dalam hak asasi manusia apabila tidak berbincang dalam cadangan pelaksanaan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata sepatutnya pandangan dari badan itu diambil oleh kerajaan sebelum dibentangkan di parlimen.

"Sungguh menghairankan apabila Suhakam yang sepatutnya berperanan sebagai penasihat kerajaan dalam hal membabitkan isu hak asasi manusia itu diketepikan begitu sahaja.

"Adakah kerajaan Barisan Nasional (BN) menganggap Suhakam ini sekadar tunggul kayu yang tidak ada manfaat," katanya.

Menurut beliau, pada penggulungan peringkat dasar sidang parlimen yang lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada menbaca surat dari Pengerusi Suhakam.

Antara lain kandungan surat itu menyebut, suruhanjaya menyokong inisiatif dan usaha kerajaan untuk memerangi keganasan dan ekstremisme sama ada ancaman dari dalam atau luar negara.

Suruhanjaya turut melihat penggubalan Undang-undang Anti Keganasan ini merupakan satu langkah kerajaan bagi mencapai matlamat tersebut.

"Namun, pada hakikatnya kerajaan gagal mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Suhakam ketika proses penggubalan Pota yang kejam dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) versi baru itu," katanya lagi

Tambah beliau lagi ia turut disokong melalui Ia kenyataan rasmi Suhakam yang bertarikh 7 April lalu yang mana menyebut “Suruhanjaya kesal apabila Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) diluluskan oleh Parlimen pada hari ini meskipun terdapat keraguan di dalam beberapa peruntukannya; dan telah dirumuskan tanpa berunding dengan Suruhanjaya, yang mana dibawah Aktanya telah dimandatkan, antara lain “untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil” yang berkaitan dengan hak asasi manusia.

Malah, Suruhanjaya percaya bahawa terdapat banyak peruntukan dalam Pota yang bercanggah dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, walaupun Malaysia memegang jawatan-jawatan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa, iaitu terdapat jangkaan dalam peningkatan piawaian hak asasi manusia”

"Pada kesempatan Sidang Dewan Negara yang sedang berlangsung sekarang, pihak kerajaan wajar membuat pindaan terhadap Pota setelah mengambilkira pandangan dan rundingan dengan pihak Suhakam.

"Setelah pindaan dibuat di Dewan Negara, Pota tersebut perlu dikemukakan semula di Dewan Rakyat sebelum pihak kerajaan menguatkuasakannya nanti," sambung beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mendesak agar Ahmad Zahid tampil memberikan penjelasan berkenaan kegagalan kerajaan dalam mendapatkan nasihat Suhakam ketika proses penggubalan Pota tersebut.

Katanya, sungguh memalukan apabila Kerajaan sendiri gagal menghormati badan hak asasi yang mereka tubuhkan sendiri.

"Sungguhpun kerajaan menafikan tidak akan berlaku salahguna terhadap Pota ini namun sejarah tidak pernah menipu kita bagaimana terbukti pemimpin dan penyokong pembangkanglah yang sering menjadi mangsa kezaliman ISA dan Akta Hasutan," tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 16/4/2015

Share on Myspace