GST: Siapa nak bela nasib kami, tanya OKU

HARAKAHDAILY | .

PIHAK Sekretariat Prihatin OKU Malaysia di bawah Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat amat terkilan dengan beberapa kenyataan yang dibuat oleh pimpinan kerajaan Barisan Nasional berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang pada tanggapan kami menyimpang dari hakikat sebenar.

Melalui hebahan media massa, digambarkan kenaikan harga barang dan perlaksanaan GST mulai 1 April lalu telah mengambilkira keperluan OKU dan keluarga.

Antaranya dihebahkan bahawa perlaksaan GST akan memberi keuntungan kepada OKU dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia telah mengambilkira situasi kenaikan barang akibat dari perlaksaan GST.

Dalam membantah perlaksaan GST sekaligus menyangkal kenyataan-kenyataan pimpinan kerajaan tersebut, kami kemukakan beberapa perkara yang perlu diketahui oleh pihak kerajaan dan orang awam:

i)  Kesan perlaksanaan GST telah memberi tekanan kepada keluarga OKU khususnya OKU yang terpaksa bergantung kepada beberapa barangan keperluan termasuklah cawat pakai buang yang mengalami kenaikan harga yang mendadak.

ii) Kenaikan harga hampir kesemua barangan keperluan harian terus memberi tekanan langsung termasuklah kepada OKU dan ibu bapa anak-anak OKU yang berpendapatan rendah atau pertengahan.

iii) Bahkan juga kami tegaskan kenaikan tambang pengangkutan awam termasuklah teksi sejurus sebelum 1 April di Lembah Klang telah memberi kesan langsung kepada kebanyakan OKU yang bergantung kepada pengangkutan awam dengan kenaikan kos antara 30 peratus hingga 50 peratus.

iv) Kami menegaskan bahawa pemberian wang BRIM dan kadar kenaikan Elaun Pekerja Cacat (EPC) di luar persetujuan komuniti OKU tidak mampu menampung kenaikan kos hidup bahkan ia hanya memberi kesan keringanan yang amat minimum.

Justeru, sebagai mewakili suara OKU dan ibu bapa anak-anak OKU, kami menggesa agar perlaksanaan GST yang terbukti membebankan OKU dan ahli keluarga dikaji agar dibatalkan.

Kami juga mendesak suatu mekanisme yang lebih dinamik dan sesuai dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa bagi menangani pelbagai isu yang didepani oleh OKU dan ahli keluarga kesan dari kenaikan harga hamper kesemua barangan keperluan pada hari ini. – HARAKAHDAILY 16/4/2015

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF
Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU MALAYSIA

Share on Myspace