Dakwaan Shahrizat umpama 'pukul anak sindir menantu'

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: PAS Permatang Pauh menolak dakwaan Ketua Wanita Umno Malaysia,  Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil kononnya parlimen di sini tidak semaju kawasan lain kerana diwakili Ketua Pembangkang.

Yang Dipertua PAS kawasan, Omar Hasan menafikan kenyataan Shahrizat itu sewaktu berucap pada pelancaran jentera PKR di Dataran Rakyat Guar Perahu, dekat sini, semalam.

Katanya, Permatang Pauh mempunyai pusat pengajian tinggi seperti Politeknik Seberang Perai, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hospital termaju, beberapa pusat bandar baru seperti Bandar Perda dan Sunway, gedung perniagaan bertaraf mega dan seumpamanya.

Tambahnya, sedangkan di kawasan parlimen yang diwakili Umno dan BN seperti Kepala Batas dan Tasek Gelugor tidak mampu mengatasi kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat dari segi pembangunan.

"Sejarah terbukti bila kawasan yang dimenangi pembangkang di situlah pembangunan hebat berbanding BN, sebab kerajaan tahu jika tak buat pembangunan pun rakyat tetap memberi sokong padu pada parti mereka," ujarnya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Beliau mengambil contoh parlimen Kepala Batas walaupun dimenangi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak beberapa penggal tetapi pembangunan tidak serancak di Permatang Pauh.

Justeru, ujar beliau apa yang dituduh oleh Sharizat sebenarnya umpama 'pukul anak sindir menantu' kerana kawasan bersempadan iaitu Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas sampai sekarang pembangunan tidak dilaksanakan walaupun sudah lama dikuasai BN. - HARAKAHDAILY 16/4/2015

Share on Myspace