PRK Rompin: Inap desa cecah RM2,800 sehari

NOOR SHAMSIAH MOHAMED dan ZAFRI RAZALI | .

ROMPIN: Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin kini mulai terasa apabila kenderaan bernombor pendaftaran luar membanjiri jalan raya sekitar bandar ini yang terkenal dengan jolokan nama 'Bandar Udang Galah'.

Beberapa jalan utama dan kedai makan di sekitar Rompin turut sesak berbanding hari-hari biasa dan di sana sini kedengaran orang sibuk mencari hotel dan inap desa, sama ada dalam kalangan jentera parti kerajaan, pembangkang mahupun agensi terlibat dengan PRK pada 5 Mei ini.

"Semuanya penuh, jangan kata nak mencari bilik hotel atau resort, inap desa yang paling dekat ada sekarang pun ialah kat Endau, Johor iaitu kira-kira 40 kilometer perjalanan dari bandar Rompin," kata Nazirul Ahmad, 41, seorang anak jati Rompin.

Katanya, rumah sewa, inap desa, serta hotel di sekitar daerah ini yang dahulunya agak 'sendu' permintaannya kini berubah secara mendadak sebaik sahaja kematian Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang juga anggota Parlimen kawasan itu dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lepas.

Menyedari akan berlaku PRK di kawasan itu, katanya beberapa pihak dikesan bertindak sebagai 'broker' menempah inap desa di bandar ini dalam kuantiti yang banyak daripada pemilik asal.
        
Beliau berkata, mereka kemudian menyewakannya kepada orang lain dengan harga yang lebih mahal untuk mengaut keuntungan.

"Kebiasannya pemilik asal hanya sewa antara RM150 dan RM200 sehari bergantung kepada kemudahan yang disediakan, namun sekarang paling murah pun RM600 hingga RM800 sehari," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Difahamkan ada dalam kalangan pemilik rumah di bandar tersebut, sanggup untuk keluar dari rumah mereka sendiri semata-mata untuk disewakan dengan harga RM2,800 sehari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Rompin pada 5 Mei, pencalonan pada 22 April dan pengudian awal pada 30 April ini.

Sementara itu, Pengurus Jualan Rompin Beach Resort Shamsul Kamal Ismail berkata, tempahan hotel di sekitar daerah itu sudah mula penuh sejak minggu lepas.
        
"Sebelum pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita menerima banyak panggilan telefon untuk tempahan, tetapi kebanyakannya tidak mempunyai tarikh yang tetap.

"Namun sebaik sahaja pengumuman dilakukan, lebih banyak panggilan diterima menyebabkan kakitangan hotel tidak menang tangan untuk melayannya dan terpaksa menolaknya kerana bilik sudah penuh," katanya.

Beliau berkata, kesemua lebih 100 bilik di hotel berkenaan telah penuh ditempah bermula 17 April hingga 6 Mei depan.

Katanya, hampir setiap hari sehingga hari ini masih ada individu dan kumpulan yang datang bertanyakan kekosongan di resort berkenaan.

Pembantu Pengurus Bahagian Jualan Lanjut Golden Beach & Golf Resort Kuala Rompin Mohd Azrei Fathourahman berkata hampir kesemua 86 unit penginapan yang mempunyai lebih 100 buah bilik penuh bermula tarikh berkenaan.

"Kebanyakan bilik telah ditempah secara berkumpulan dan kami masih mengekalkan harga biasa tanpa kenaikan kecuali pada 1 Mei terdapat sedikit tambahan," katanya. - Bernama

Share on Myspace