PPR dibiar kosong, mangsa banjir tidur di khemah

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Biar pun kerajaan negeri menjelaskan tujuh lokasi disediakan bagi menempatkan semula mangsa-mangsa banjir, namun Umno masih menganggap tiada tanah bagi membina rumah kekal.

Umno membayangkan terpaksa membeli tanah milik persendirian bagi membina rumah kekal mangsa banjir.

Sebaliknya projek perumahan rakyat (PPR) setinggi lima tingkat di bandar baru yang lebih setahun disiapkan masih belum berpenghuni sehingga sekarang.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad berkata sekiranya Umno benar-benar mahu membantu banjir yang tiada lot sendiri, sepatutnya ditempatkan mereka sementara di PPR.

Katanya, projek tersebut sudah lama siap namun masih lagi tidak berpenghuni.

“Sekarang Umno menjaja kerajaan negeri tidak memberi kerjasama menyediakan tapak kepada mangsa banjir. PPR boleh digunakan sementara bagi menempatkan mangsa banjir yang mendiami khemah di Bandar Utama.

“Biar pun PPR dijual pada harga tertentu sepatutnya mangsa-mangsa banjir diberi keutamaan kerana rumah mereka yang menumpang di tanah kerajaan sebelum ini rosak teruk,” katanya di sini.

Adun Galas, Abdul Aziz Yusof sebelum ini dilaporkan kerajaan pusat tidak pernah melengah-lengah pembinaan rumah kekal, namun kerajaan negeri belum menyediakan tapak bagi tujuan itu.

Pada Januari lepas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporan berkata 500 mangsa banjir di Gua Musang akan mendiami rumah PPR.

Azman juga berkata kira-kira 100 mangsa banjir yang masih tinggal di khemah di Bandar Utama akan ditempatkan di Simpang Pulai.

Katanya, Majlis Agama Islam Kelantan akan membina rumah kepada mereka di situ secepat mungkin terutamanya sebelum menjelang Ramadan.

“Selain itu kerajaan negeri juga menempatkan sebahagian lagi mangsa banjir di Tanah Putih dan Kampung Kerinting yang diwujudkan kerajaan negeri awal 1990-an.

“Kawasan itu menempatkan setinggan yang tinggal di bandar lama Gua Musang, tanah Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) dan pinggir Sungai Galas. Sekarang ramai tinggal di kawasan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun kata Azman ada dalam kalangan setinggan yang pernah mendapat lot di Tanah Putih menjual lot tersebut bagi mendapat keuntungan segera.

“Mereka yang menjual lot diberi sebelum ini akan dipertimbang semula mendapat lot tanpa diberi geran kekal bagi mengelakkan mereka sekali lagi menjual tanah berkenaan,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri turut menyediakan lot bagi membina rumah kekal di Limau Kasturi seluas kira-kira 200 ekar dan Rantau Manis di Dun Paloh.

Lot juga disediakan di Dun Nenggiri di tapak sedia ada.

Ketika banjir besar yang melanda hulu Kelantan Disember lepas sebanyak 600 rumah rosak teruk di Gua Musang. Limau Kasturi paling banyak rumah rosak iaitu 91 buah, manakala di Lebir sebanyak 36 buah.

Kerajaan negeri juga menyiapkan 10 rumah kekal di Kampung Kolam Mas Gua Musang dan enam sedang dalam pembinaan. Dua lagi akan dibina di Tanah Putih. – HARAKAHDAILY 16/4/2015

Share on Myspace