NGO diterajui abang Muhyiddin juga sokong Tun M

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dalam pertembungan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Najib Razak, ramai yang tertanya-tanya apakah pendirian Pemikir atau Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia mengenainya.

Menurut penulis blos, Shahbudin Husin pertanyaan itu timbul kerana Pemikir dianggotai oleh beberapa tokoh berpengaruh daripada kalangan bekas menteri, ahli parlimen, pegawai tinggi kerajaan serta tokoh penting dalam masyarakat.

Antara mereka yang menganggotai Pemikir ialah Sabbaruddin Chik, Azmi Khalid, Aziz Shamsuddin, Osu Sukam, Drs Suleimah Mohamad dan ramai lagi.

Bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman dan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan juga menganggotai NGO itu.

"Lebih menarik ialah Presiden Pemikir adalah Aziz Yassin, bekas Ahli Parlimen Muar yang juga abang kepada Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin," tulis Shahbudin dalam blognya.

Selain itu, katanya NGO itu juga difahamkan kerap mengadakan pertemuan dan bertukar-tukar fikiran dengan Tun Mahathir dengan kali terakhir mereka mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu ialah pada 8 April lalu.

Lalu, ujar beliau ramai yang bertanya, apa pendirian Pemikir sebenarnya - menyokong Tun Mahathir atau Najib.

"Ramai juga bertanya, kenapa Pemikir masih berdiam diri sedangkan penyanyi Siti Nurhaliza dan pelakon Rozita Che Wan pun berani menyatakan sokongan terbuka kepada Tun Mahathir?

"Tidakkah NGO itu terpanggil untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir yang sudah mulai menyebut nama Muhyiddin sebagai pengganti yang layak mengambil alih tempat Najib?" tulisnya lagi

Menurut Shahbudin, setelah diasak oleh banyak pihak, Aziz Yassin dalam SMS yang banyak dihantar kepada ramai kenalan dan rakan-rakannya pagi tadi, beliau memaklumkan sokongannya terhadap Tun Mahathir.

"Dalam SMSnya itu, beliau berkata, Pemikir ditubuhkan dengan sokongan daripada Tun Mahathir, malah bekas Perdana Menteri itu juga adalah Penaung Seumur Hidup kepada Pemikir.

"Oleh yang demikian, tambah Aziz lagi, Pemikir menyokong penuh segala tindakan yang dibuat oleh Tun Mahathir demi kepentingan agama, bangsa dan negara," tambahnya lagi. - HARAKAHDAILY 16/4/2015

Share on Myspace