KWSP: Teliti keperluan rakyat

HARAKAHDAILY | .

Purata jangka hayat rakyat Malaysia adalah 74 tahun. Manakala, jumlah populasi warga emas (60 tahun ke atas) diunjur akan melebihi 15 peratus daripada keseluruhan populasi di Malaysia menjelang tahun 2030. Ini akan menjadikan Malaysia berstatus Negara Warga Emas.

Keadaan ini memerlukan sokongan perbelanjaan yang tinggi daripada kerajaan untuk menjamin kestabilan jaringan keselamatan sosial warga emas khususnya daripada aspek kesihatan, psikologi dan kewangan. Hal ini tidak dapat dielakkan, malah kerajaan harus mempersiapkan keperluan yang secukupnya.

Tambahan pula, laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 oleh United Nations Development Program yang menunjukkan kira-kira 90% pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk membiaya kehidupan mereka selepas 5 tahun persaraan.

Seseorang individu memerlukan sejumlah simpanan yang besar bagi meneruskan gaya hidup semasa untuk kira-kira 15 hingga 20 tahun selepas umur persaraan. Contohnya, mereka yang hidup dengan pendapatan RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, dengan kadar inflasi 3% - 5% dan anggaran umur selepas bersara sekitar 15 tahun lagi, mereka memerlukan sebanyak RM1.5 juta hingga RM3 juta secara keseluruhannya.

Begitu juga data yang didedahkan oleh KWSP bahawa lebih 70% pencarum telah menghabiskan semua simpanannya dalam tempoh 3 tahun daripada umur persaraan. Mungkin, atas faktor-faktor tersebut pihak KWSP mencadangkan had umur pengeluaran diselaraskan kepada 60 tahun. Cadangan KWSP tersebut ada asasnya, namun ia dilihat bukan satu solusi yang terbaik.

DPPWP menggesa pihak KWSP memberikan peluang kepada para pekerja untuk memilih waktu pengeluaran yang terbaik disamping membantu mereka mengurus kewangan selepas persaraan. KWSP perlu meraikan keperluan rakyat yang berbeza. Namun, KWSP boleh melantik konsultan perancangan harta peribadi yang bertauliah untuk memberikan khidmat nasihat secara percuma kepada para pencarum.

Antara elemen penting yang mesti dititikberatkan ialah penyelesaian hutang, pengurusan perbelanjaan selepas persaraan, penulisan wasiat, panduan pengagihan harta seperti pengurusan faraidh, waqaf atau preservasi harta untuk keluarga. Bagi umat Islam, perancangan ini boleh membantu mereka mencapai kehidupan yang lebih baik di dunia dan menggapai al-falah di akhirat.

Di Malaysia, pergerakan kenaikan kadar gaji secara purata adalah 8 peratus setahun. Kenaikan berkadar perlahan secara realitinya belum ampuh untuk menangani kadar inflasi sebenar dan kos sara hidup yang tinggi. Isu utama yang membelenggu sebahagian rakyat Malaysia adalah mengurus pendapatan peribadinya.

Hutang isi rumah di Malaysia telah mencecah 87% daripada KDNK negara dan ia antara yang tertinggi di Asia. Sebahagian besar hutang tersebut disumbang oleh pembelian kediaman. Purata harga kediaman dijangka akan berterusan menokok sekitar 3% hingga 6% selepas pelaksanaan GST 1 April yang lalu. Nisbah purata harga sebuah rumah teres berbanding purata pendapatan isi rumah tahunan adalah 3.6 tahun pada tahun 2014.

Selain pembelian kediaman, hutang isi rumah yang besar turut disebabkan oleh pinjaman peribadi. Sejak polisi Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), jumlah agregat pinjaman isi rumah menerusi institusi kewangan dan perbankan tumbuh berkadar perlahan sejak 2010. Tetapi senario sebaliknya berlaku terhadap institusi kewangan bukan bank seperti syarikat pinjaman wang berlesen dan koperasi (shadow banks) yang terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Menurut HSBC Global Report pada bulan Januari 2015, sebanyak 65% responden rakyat Malaysia yang belum bersara masih belum mampu menabung bagi tujuan persaraan kerana terpaksa membayar hutang pembelian kediaman dan hutang-hutang yang lain. Ini dilihat faktor yang makro untuk diberikan perhatian oleh kerajaan, KWSP dan rakyat supaya kehidupan selepas persaraan lebih baik dan berkualiti.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa pihak kerajaan dan pihak pengurusan KWSP tidak terburu-buru untuk menyelaraskan umur bagi pengeluaran penuh wang simpanan kepada 60 tahun. Lebih baik memberikan peluang kepada para pencarum untuk memilih kadar umur berdasarkan kepada keperluan peribadi mereka. Paling penting adalah meningkatkan kesedaran dan teknik pengurusan kewangan peribadi.  

Islam mendidik umatnya untuk bertanggungjawab terhadap soal perolehan harta dan ke mana perbelanjaannya. Ia memberi kesan terhadap diri, keluarga serta mengundang keberkatan daripada Allah SWT. - HARAKAHDAILY 17/4/2015

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia

Share on Myspace