GST menurunkan kualiti hidup warga emas

HARAKAHDAILY | .

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan rendah termasuk warga emas adalah antara yang paling terkesan dengan kenaikan harga barangan.

Pada 8 April yang lepas, Fomca mendapati harga barangan meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding dengan harga yang dicadangkan oleh buku panduan harga yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Peningkatan harga ini telah menyebabkan kuasa membeli rakyat menurun secara mendadak," ujar Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan.

Beliau berasa amat bimbang kesan penurunan kuasa membeli itu kepada warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap, dan tidak lagi boleh bekerja untuk menanggung kehidupan mereka.

Katanya, dikhuatiri, warga emas yang memerlukan ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit tertentu tidak lagi akan mampu untuk membeli ubat, kerana menumpukan perbelanjaan mereka ke arah barangan asas yang lain dan penambahan harga ubat-ubatan.

Ini, ujarnya akan membawa kesan yang jauh lebih buruk, yang mungkin menyebabkan penyakit atau keadaan kesihatan serta kualiti hidup warga emas berada di luar kawalan.  

Januari lepas, Malaysian Pharmaceutical Society (MPS), Malaysian Community Pharmacy Guild (MCPG), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA), Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Malaysian Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) telah mengeluarkan kenyataan bahawa sebenarnya hanya 320 jenis ubat sahaja yang dikadarkan sifar di bawah GST.

Ini disebabkan walaupun dalam Senarai Ubatan Penting Kebangsaan (NEML) terdapat 4,200 jenis ubat, namun sebenarnya ubatan yang sama yang dihasilkan oleh syarikat berlainan dikira beberapa kali. Sebagai contoh, paracetamol yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat dikira sebagai 17 ubatan yang berlainan oleh kerajaan.

Sebelum pada ini, beberapa harga ubat telah meningkat antara 20% hingga 50% pada tahun 2014 dan dijangka bakal naik mendadak pada tahun ini. - HARAKAHDAILY 17/4/2015

Share on Myspace