Jangan kerana kuasa sanggup 'pijak' Tun M

BASHIR ISHAK | .

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir diminta menghentikan sikap berdolak dalik berhubung pendiriannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, walaupun kedudukan Mukhriz sebagai ketua kerajaan negeri ditentukan oleh Perdana Menteri, beliau tidak semestinya terikat untuk menyokong secara membuta-tuli ketuanya sehingga mengabaikan kepentingan rakyat dan negara.

Kata Mahfuz, PAS Kedah menyifatkan Mukhriz sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat berat kerana hampir kesemua bahagian Umno di negeri ini memihak kepada Najib yang sedang berhadapan dengan konfrontasi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed yang juga merupakan bapanya.

Katanya, Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin mendakwa Mukhriz menyatakan hanya akan menyokong Najib sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati 1MDB bersih dari penyelewengan dan salah laku dalam urus tadbir.

"Namun jika siasatan mendapati sebaliknya, beliau akan bersama-sama rakyat.

"Pendirian inilah sewajarnya dipertahankan oleh Mukhriz dan kesemua kepimpinan Umno Kedah," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tabahnya, dalam semua perkara, kepentingan rakyat mestilah didahului berbanding kepimpinan seorang pemimpin atau kelompok.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata kritikan Mahathir terhadap Najib adalah menyentuh isu-isu besar yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara seperti 1MDB, pembunuhan Altantuya, pembelian kapal selam, pembaziran wang negara, pembelian jet peribadi, kekayaan luar biasa keluarga Najib, GST dan kegagalan dasar pentadbirannya.

Maka katanya, Mukhriz perlu melihat keseluruhan isu yang menjadi kegagalan Najib, bukan bertumpu kepada 1MDB semata-mata.

PAS Kedah, ujar beliau turut mendesak kesemua pemimpin Umno Kedah supaya tidak memandang remeh serta menolak kenyataan Mahathir dalam memperjuangkan hak rakyat yang dicabuli Najib.

"Jangan kerana kepentingan kedudukan, kuasa dan wang, para pemimpin Umno Kedah sanggup ‘memijak’ seorang negarawan seperti Tun Dr Mahathir.

"Umno Kedah mestilah membuat pendirian rasmi terhadap isu-isu rakyat dan negara yang diperjuangkan beliau," ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/4/2015

Share on Myspace