Tumpu gerak kerja untuk menang PRK Permatang Pauh

MOHD SABRI SAID | .

 

PERMATANG PAUH: PAS menggesa supaya dihentikan perbalahan siapa calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh sebaliknya menumpukan gerak kerja untuk mencapai kemenangan pada 7 Mei depan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, tanpa gerak kerja yang seimbang kekuatan parti dalam Pakatan Rakyat akan terencat yang membolehkan pihak lawan menapak walaupun mereka berbalah panjang.

"Perbalahan sesama sendiri membuka ruang untuk musuh kita menjana kekuatan. Tidak guna kita dok sengketa pasal calon sebab teorinya mudah, parti mana yang bertanding pada pilihan raya umum (PRU) parti itulah yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK)," jelasnya sewaktu berucap pada pertemuan dengan petugas untuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir di Madrasah An-Nahdhoh, Penanti malam tadi.

Beliau selaku Pengarah Pilihan Raya PAS bagi PRK Permatang Pauh berkata, percakaran sesama sendiri tidak menguntungkan Pakatan Rakyat malah mendatangkan prasangka negatif dalam kalangan masyarakat atas pagar.

Menurutnya, mana-mana anggota PAS tidak boleh bertindak menentang apa yang telah diputuskan oleh parti sebaliknya melaksanakan tugas berpandukan pengalaman yang ada bagi memenangkan kebenaran.

"Bila kita bantu rakan kita PKR di Permatang Pauh, insya Allah mereka juga membantu kita di Parlimen Rompin. Itulah hakikatnya dalam berpolitik," ujarnya.

Jelasnya, dalam suasana seumpama ini jentera PAS perlu matang berfikir kerana Umno Barisan Nasional (BN) tetap menzalimi dan menindas rakyat.

Turut berucap dalam majlis anjuran Jabatan Pilihan raya PAS negeri (JPN) itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli,  timbalannya, Datuk  Wan Rahim Wan Abdullah, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Mumtaz Mohd Nawi dan Pengarah JPN Pulau Pinang, Bukhori Ghazali. - HARAKAHDAILY 18/4/2015

Share on Myspace