Helikopter: Laporan dikeluar awal Mei, jawab spekulasi

BERNAMA | .

NILAI: Orang ramai diminta supaya bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung punca nahas helikopter yang meragut nyawa enam orang termasuk anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis pada 4 April lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penyiasatan secara menyeluruh sedang dibuat melibatkan pelbagai aspek termasuk perbandingan serpihan bangkai helikopter yang dijumpai dengan data daripada kotak hitam yang telah diperoleh.

"Penyiasatan kepada kemalangan helikopter baru-baru ini berjalan dengan lancar di mana pasukan penyiasat telah pun kembali ke tanah air dari United Kingdom selepas kita dapat ambil semua data daripada perakam suara kokpit dan rakaman data penerbangan. Semua data-data dalam kotak hitam itu adalah sempurna, boleh dibaca dan boleh dianalisis.

"Kita yakin bersama dengan penyiasat di kawasan kemalangan dan juga mendapat semula bangkai pecahan, (dengan) serpihan helikopter yang ada kita dapat menentukan punca kemalangan helikopter ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan bengkel Rangka Kerja Wanita MCA (2015-2018) anjuran Wanita MCA Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita MCA Kebangsaan Datuk Heng Seai Kie dan Ketua Wanita MCA Negeri Sembilan Datuk Seri Lee Pit Chern.

Liow berkata laporan itu akan diumumkan awal Mei ini.

"Kita akan memberi satu dapatan konklusif kepada rakyat," katanya.

Liow yang juga Presiden MCA berkata kesemua data yang diperoleh berada dalam keadaan sempurna, boleh dibaca, serta dianalisis dan diubah kepada data yang lebih terperinci seperti 3D bagi menggambarkan situasi sebenar helikopter tersebut semasa terhempas dengan ketinggian dan masa yang tepat.

Katanya banyak perkara yang perlu dikaji dengan teliti dan diselesaikan dalam tempoh penyiasatan ini bagi mendapatkan jawapan tepat mengenai punca sebenar nahas itu.

"Jangkaan laporan penuh mengenai kejadian nahas tersebut akan dikeluarkan pada awal Mei ini bagi menjawab segala persoalan dan spekulasi yang diajukan oleh beberapa pihak.

Dalam kejadian tersebut, helikopter AS365N2 Dauphin (9M-IGB) yang membawa enam orang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Selain juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, turut terkorban ialah Jamaluddin; Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. - Bernama

Share on Myspace