PAS: Salah jika takrif parti politik semata-mata

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS pada takrif yang betul adalah merupakan sebuah Gerakan Islam (Harakah Islamiyah) di mana sebahagian dari tanggungjawab dan amanah perjuangannya ialah gerak kerja politik (amal Siasah).

"Menakrifkan PAS hanyalah sebuah parti politik semata-mata adalah salah, justeru ia meletakkan peranan PAS terbatas pada percaturan dan kemaslahatan politik yang terhad," ujar Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Bahkan, jelas beliau ia tidak membezakan PAS dengan parti-parti politik yang lain pada orientasi dan perkiraan politiknya.

Tambahnya, sementara PAS yang ditakrifkan sebagai sebuah Gerakan Islam akan mengangkat peranan PAS jauh lebih besar dari sekadar berpolitik pilihan raya atau berhenti di atas garis kemenangan pilihan raya.

"Sebaliknya menjadikan politik sebagai wadah untuk memenangi pilihan raya lantas mengisi kemenangan dengan mendaulatkan syariat Allah swt di atas tanah air kita," ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Beliau berkata, gerak kerjanya seimbang dan sepadu antara tiga asas gerak kerja iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah.

Menurutnya, Islam adalah cara hidup yang syumul (lengkap sempurna) maka gerakkan Islam adalah sebuah gerakan yang berteraskan syumuliah (kesempurnaan) Islam itu sendiri. - HARAKAHDAILY 18/4/2015

Share on Myspace