Beri bukti kita tolak permohonan PR1MA - Azmin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menafikan kerajaan negeri enggan memberi tanah untuk pembangunan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan negeri sedia bekerjasama untuk sebarang projek pembangunan rumah mampu milik dengan syarat PR1MA perlu mematuhi dasar dan garis panduan yang ditetapkan, lapor Selangor Kini.

“Itu tidak betul (tidak mahu beri tanah). Beri bukti kita tolak permohonan PR1MA," katanya.

Masalahnya, ujar beliau PR1MA membangunkan rumah terlalu mahal untuk rakyat iaitu RM400,000.

"Itu rumah mampu tengok,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Karya Residensi, di Kampung Jawa, Klang hari ini.

Beliau berkata, beberapa syarikat swasta tidak berhadapan masalah untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan rumah mampu milik sebelum ini.

Katanya, setakat ini PR1MA tidak menunjukkan sebarang kejayaan dan hanya membeli projek daripada pemaju swasta menyebabkan harga rumah terlalu mahal.

“Kelebihan kerajaan negeri iaitu kita ada bank tanah yang besar. Sebab itu kos tanah minimal dan boleh membangunkan rumah mampu milik berkualiti dengan penyertaan syarikat swasta," ujarnya.

Menurutnya, kalau PR1MA mahu terlibat dengan kerajaan negeri, maka harus patuh kepada dasar yang ditetapkan.

Kalau Sime Darby Property, IJM Land dan WCT Holdings Berhad boleh kenapa PR1MA mengambil pendirian untuk tidak patuh dengan garis panduan dan dasar kerajaan negeri?

“Kita tidak benarkan rumah mampu milik terlalu mahal kerana membebankan rakyat atas faktor GST dan kos sara yang hidup tinggi,” katanya.

Share on Myspace