Krisis berterusan Mahathir-Najib penamat BN

ARIF ATAN | .

KUALA LUMPUR: Kritikan berterusan yang dilemparkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun  Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak menggambarkan kepincangan kerajaan Umno BN sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, kepincangan pentadbiran di bawah rejim Umno BN dalam hampir semua segi yang kerap dibangkitkan Mahathir sekali gus membenarkan pendedahan dilakukan pihak Pakatan Rakyat sebelum ini termasuk daripada NGO dan penganalisis politik.

“Kepincangan Najib sangat ketara. Saya lihat sebahagian fakta dan isu yang lantang disebut oleh Mahathir sebenarnya sekadar mengulang apa Pakatan Rakyat perjuangkan," ujarnya.

Beliau yang yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat berkata, Najib terus membisu apabila ‘bos’ beliau sendiri tanpa berselindung lagi terus menghentam dirinya.

"Sama ada apa dilakukan Mahathir sekarang ini ada agenda tersembunyi, itu satu isu lain tapi yang jelas kita semua yakin kepimpinan Najib sama sekali sudah membawa banyak masalah kepada rakyat dan negara ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kenyataan keras Mahathir berhubung kontroversi hukuman mati ke atas Sirul Azhar Umar yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya serta skandal hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang menelan berbilion ringgit dana awam menggambarkan pengakhiran Najib sebagai Perdana Menteri akan berlaku dalam jangka masa terdekat.

Beliau menambah, sepatutnya Mahathir puas hati dengan Najib selepas menolak Pak Lah tetapi apa yang berlaku di sebaliknya selepas menyaksikan rekod ekonomi negara yang makin menjunam selain pelbagai perkara pelik di bawah pentadbiran Najib sejak tahun 2009.

“Ramai sebenarnya pimpinan Umno saya rasakan sependapat dengan Mahathir tetapi mereka tidak punya keberanian untuk berterus terang.

"Kedudukan Najib sudah kritikal sama seperti pentadbiran kerajaan Umno BN yang penuh korup,” ujarnya lagi.

Share on Myspace