Rompin: Generasi pelapis Umno sukar diberi ruang

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

ROMPIN: PAS sudah menjangkakan bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Hasan Arifin dipilih menjadi calon pilihan Umno dan BN dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin kali ini.
 
Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini menunjukkan generasi pelapis dalam parti tersebut sukar diberi ruang.
 
“Memang kita dah jangka Datuk Hassan dipilih dan bagi PAS ini calon kitar semula kerana tiada perkara baru atau wawasan baru,” katanya ketika diminta mengulas pengumuman Hasan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Hasan, 56, merupakan pemangku Ketua Bahagian Umno Rompin dan pernah dilantik Timbalan Menteri Besar Pahang pada tahun 1995 hingga 1999 semasa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Ibam sebelum digugurkan daripada bertanding pada PRU 2004.
 
Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS berkata, parti itu menawarkan calon berwibawa dan muda kali ini bagi pilihan penduduk Rompin.
 
“PAS akan umum calon pada 20 haribulan ini dan kita yakin tokoh kita akan mampu bersaing dan kita akan tawar yang terbaik bagi pengundi,” katanya yang juga Pengarah PRK PAS.
 
Pilihan raya kecil Rompin, yang dijadualkan pada 5 Mei, diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Jamaluddin Jarjis pada 4 April dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor.

Pada PRU13 Mei 2013 lalu, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mendapat 30,040 undi sementara calon PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh memperolehi 14,926 undi. - HARAKAHDAILY 18/4/2015

Share on Myspace