Pemimpin PAS profesional dalam bidang agama

SALMIYAH HARUN|FOTO WAN ZAHARI | .

Tuan Guru Abdul Hadi menyampaikan ucapan penutup.

KUALA LUMPUR: PAS sebagai sebuah organisasi yang berteraskan Islam digesa terus mengekalkan kepimpinan ulama dalam pemilihan akan datang, demikian menurut Prof Muhammad Khazami Abdullah dari Universiti Malaya.

Katanya, mereka yang memimpin PAS akan menjadikan Islam sebagai prinsip dan dasar di dalam organisasinya.

"Jadi mereka ini adalah profesional dalam bidang agama, untuk memahami gerakan sebuah organisasi yang boleh diperjelaskan dalam konteks semasa.

"Siapa paling berautoriti, dia adalah ulama," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Kongres Profesional Muslim Se-Malaysia.

Tambahnya, jika PAS adalah sebuah parti yang bukan berteraskan Islam maka terserah kepada ahli untuk memilih ketua mereka.

Bagaimanapun soalnya bagaimana ulama hendak meneruskan falsafah dan prinsip Al-Quran kepada pelaksana kerana ia memerlukan kepada golongan profesional.

"Sudah tiba masanya kita di kalangan profesional dalam semua bidang untuk berani ke hadapan," katanya di hadapan kira-kira 150 peserta kongres yang berlangsung di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Turut bersama beliau membentangkan kertas kerja ialah Dr Badlihisham Mohd Nasir dari Fakulti Tamadun Islam UTM dan Pengerusi Perangsang Selangor Berhad, Raja Idris Raja Kamarudin.

Fitnah musuh

Sementara itu, Dr Suhaini Kadima dari Institut Jantung Negara pula berkata, PAS dilihat seolah-olah terperangkap dengan propaganda dan fitnah pihak musuh yang mahu memecahbelahkan jemaah Islam.

Menurutnya, perkara itu berlaku disebabkan para jemaah hari tidak ada keikhlasan di dalam perjuangan.

"Kita meraikan perbezaan pendapat untuk memecahbelahkan jemaah sebab kita tidak ada keikhlasan dalam perjuangan kita," katanya.

Justeru katanya, kepelbagaian perlu diuruskan oleh  pemimpin masing-masing iaitu ulama dan profesional bagi menyelesaikan masalah masyarakat.

"Pengurusan yang terbaik adalah gabungan profesional dengan ulama. Bagaimana kita uruskan perpecahan itu adalah satu rahmat," katanya.

Kongres yang berlangsung setengah hari turut menampilkan beberapa pengulas dan ahli panel antaranya Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengarah Pusat Strategik Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yusof, Adun Selat Klang Dr Halimah Ali dan Exco Kelantan Dr Muhamed Fadzli Hassan. - HARAKAHDAILY 18/4/2015

Share on Myspace