PAS: Ulama, profesional dan aktivis tidak bertembung

HARAKAHDAILY | .

STATUS keahlian PAS hanyalah 'Ahli PAS'. Kad ahli Presiden PAS tertera 'Ahli PAS' sama dengan kad ahli-ahli PAS yang lain iaitu status 'Ahli PAS'.

PAS tidak membezakan ulama mahupun profesional dan aktivis jauh sekali meminggirkan sebahagian dari sebahagian yang lainnya. Sebaliknya sinergi ulama, profesional dan aktivis adalah satu asas kukuh dalam PAS sejak awal penubuhannya sehingga kini. Tidak sepatutnya berlaku pertembungan antara ulama dan profesional mahupun aktivis.

Pertembungan yang berlaku bukanlah pertembungan antara ulama dan profesional. Sebaliknya pertembungan yang wujud itu adalah dari aliran pemikiran yang bertentangan prinsip dan akar fikirnya serta bercanggah dengan keabsahan manhaj PAS yang didukung.

Wujudnya mereka yang tiada disiplin berjamaah, mengkhianati jamaah dengan membocorkan rahsia, menikam kepimpinan sendiri dari belakang, melunturkan nilai taat dan walak kepada jamaah dan sebagainya.

Pertembungan ini tidak mewakili ulama atau profesional tetapi mewakili pemikiran yang dianutnya.

Tamatkan teori dan persepsi pertembungan ulama dan profesional justeru ia bukan isu sebenar yang berlaku. Sebaliknya semua mesti bangkit pertahankan dasar, prinsip, agenda perjuangan dan pemikiran Islam yang tulen dari anasir yang mahu merosakkannya.

Jangan benarkan parti diresapi pemikiran yang asing dan bertentangan dengan manhaj perjuangan Islam yang kita dukung.

Pemikiran sedemikian bagaikan virus yang boleh melumpuhkan jamaah dan memusnahkan identiti perjuangan kita.

Kenali pembawa virus ini dengan cermat, tepat, adil dan saksama serta segera bertindak menghalangnya. Jangan izinkan mereka membuat onar, keliru dan celarukan pemikiran ahli PAS.

Namun jangan semberono dan fitnah melulu. Jangan pula salah sasar kepada mereka yang tidak berkenaan. Awasi saraf musuh yang mencetus fitnah dan adu domba.

Elakkan bertindak secara emosional dan dendam peribadi. Dapatkan maklumat yang betul dan tidak menyebarkan berita yang salah dan separuh masak. - HARAKAHDAILY 19/4/2015

NASRUDIN HASSAN
Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Share on Myspace