Adakah wajar potong bajet kesihatan untuk rakyat?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan di bawah Datuk Seri Najib Razak perlu bijak menguruskan dana dan meletakkan prioriti rakyat di hadapan.

Justeru, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Ammar Atan mempersoalkan di manakah kewajaran kerajaan apabila memotong bajet sebanyak RM120 juta kepada hospital pendidikan universiti itu.

Katanya, hospital itu menjadi tempat bergantung rakyat di sekitar Petaling dan Lembah Pantai untuk mendapatkan bantuan kesihatan.

Tambahnya, taktala peningkatan jumlah pesakit saban tahun meningkat, serta rakyat menderita dengan peningkatan bebanan kos sara hidup apatah lagi selepas implementasi GST, yang mana rakyat akan beralih daripada hospital swasta kepada kerajaan.

Menurutnya lagi, kerajaan perlu sedar bahawa penjagaan pesakit akan terjejas selepas bajet hospital pendidikan dikurangkan kepada RM387 juta bagi 2015 berbanding RM510 juta tahun lepas.

"Sudah pasti potongan bajet akan memberi kesan kepada kualiti pendidikan yang diberikan kepada pelajar perubatan," ujarnya.

Beliau menambah, bajet kesihatan merupakan satu kewajiban yang sangat penting dan tidak boleh diendahkan kepentingannya kerana ia melibatkan nyawa rakyat dan bukannya mainan.

Katanya, rakyat tidak meminta untuk dikurangkan bajet kesihatan tetapi mendesak untuk membasmi ketirisan seperti 1MDB dan amalan kroni kerajaan yang saban hari semakin parah. - HARAKAHDAILY 19/4/2015

Share on Myspace