Adakah gandingan Mahathir-Ku Li jadi kenyataan?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Mungkinkah akhirnya gandingan 'orang lama' iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah bakal menjadi kenyataan?

Demikian pertanyaan yang dilontarkan penulis Shahbudin Husin menerusi blognya semalam.

Ini ekoran Umno menamakan Datuk Hasan Ariffin sebagai calon BN bagi Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei depan.

Hasan yang kini pemangku Ketua Umno Rompin adalah bekas Adun Bukit Ibam selama tiga penggal pernah menjadi Timbalan Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini.

Bagi Shahbudin pemilihan Hasan, 62, sebagai calon PRK Rompin boleh dianggap mengejutkan kerana kriterianya adalah 'kitar semula'.

"Apakah ini menggambarkan Umno sudah ketandusan calon-calon muda yang berkelayakan atau sudah lupa kepada proses peremajaannya?" tanya beliau

Baginya juga, sekali lagi timbul persoalan, apakah Umno kini sedang berada di persimpangan di mana pemimpin lama dan veteran lebih menjadi pilihan berbanding orang muda.

Menurutnya, dengan pemilihan Hasan itu seperti senada dengan kemelut politik yang sedang berlaku di peringkat Pusat sekarang yang mana Datuk Seri Najib Razak semakin ditolak daripada kerusi Perdana Menteri sementara nama tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah dilihat semakin menonjol yang layak menggantikannya.

"Setelah 'orang lama' terlilih sebagai calon untuk menjamin kemenangan di Rompin, adakah bakal pengganti Najib yang lebih diyakini untuk menyelamatkan Malaysia juga terdiri daripada kategori yang sama?" tanya Shahbudin lagi.

Dalam konteks ini, katanya Tun Mahathir yang sedang berusaha menyelamatkan negara ketika ini juga sudah berusia hampir 90 tahun tetapi peranannya tetap diterima dengan baik oleh semua lapisan rakyat, tak kira tua ataupun muda. - HARAKAHDAILY 19/4/2015

Share on Myspace