Gamis bantah pertuduhan terhadap 3 pelajar UIAM

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyatakan sebulat bantahan terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas tiga orang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mereka terdiri daripada bekas Presiden Gamis, Abdul Malik Abd Razak, Muhammad Mujahid Mohd Sulaiman (mantan Pengerusi Pro-M) dan Muna 'Adila Che Rime (Timbalan Pengerusi MPN Gamis).

Menurut Presiden Gamis, Mohd Imran Md Ishak, mereka telah menerima surat hadir mendengar pertuduhan pada 21 April ini (Selasa) berhubung keterlibatan dalam program Pidato Umum-Jelajah Mahasiswa, Bebaskan Universiti, Kerajaan Mahasiswa yang diadakan pada 7 November 2014 lepas.

Katanya, mereka yang juga ahli Gamis dikenakan tuduhan menyertai perhimpunan haram di simpang menuju ke pintu masuk utama UIAM yang merupakan kawasan di bawah kawalan pihak universiti.

Mereka, ujarnya dikenakan tuduhan melanggar peraturan 9(3) di dalam buku peraturan disiplin pelajar 2004 (pindaan 2006).

"UIAM sebagai institusi pengajian berbasiskan Islam, adalah tidak wajar mengenakan tindakan sebegitu rupa seolah-olah Islam dilihat menyekat pandangan manusia untuk bersuara," katanya lagi.

Tegasnya, Gamis tetap berpandangan peraturan disiplin pelajar UIAM adalah lebih kejam dan menyekat kebebasan bersuara mahasiswa di dalam kampus mahupun di luar yang dikatakan di bawah kawalan pentadbiran berbanding Auku pindaan 2012.

Oleh itu, katanya beberapa gesaan telah disenaraikan sebagai tanda bantahan terhadap tindakan tersebut:

1) Gamis menggesa pihak pentadbiran UIAM untuk memberi hak bersuara dan keterlibatan politik kepada pelajarnya dengan juga meminda peraturan universiti tersebut.

2) Gamis juga menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mengkaji semula sejauh mana relevannya peraturan disiplin pelajar UIAM dalam memastikan pimpinan yang dilahirkan mampu memimpin masyarakat pada masa akan datang.

3) Gamis juga komited bersama 3 orang mahasiswa UIAM dalam memastikan mereka diputuskan tidak bersalah dan ia tidak mampu melemahkan dan mematikan idealisme mahasiswa. - HARAKAHDAILY 19/4/2015

Share on Myspace