Krisis Najib-Mahathir: Biar rakyat nilai Umno kucar-kacir

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, sekarang peluang terbaik untuk Pakatan Rakyat melonjakkan pengaruh kerana Umno sedang berhadapan dengan konflik dalaman yang serius.

Katanya, persengketaan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed kian tajam dengan isu kegagalan kerajaan menjaga kebajikan rakyat apabila memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat kena ambil kesempatan persengketaan dua tokoh berkenaan sebab ia merupakan konflik yang kian meruncing. Biar rakyat menilai sendiri bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan kucar-kacir," tegasnya ketika ditemui di sini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai mengajak ahli PAS supaya berganding bahu dan tidak terikut dengan konflik semacam Umno.

"Konflik sesama sendiri tidak menyihatkan malahan membantut kemaraan parti bersama parti lain menuju Putrajaya," jelasnya.

Justeru itu, katanya para petugas kesemua parti yang bakal berhadapan dengan jentera Umno BN di Parlimen Permatang Pauh dan Rompin perlu bersiap siaga dengan memberikan penerangan sejelas-jelasnya kepada masyarakat di kampung-kampung terhadap apa yang berlaku dalam negara.

"Di Rompin PAS bertanding di Permatang Pauh PKR bertanding. Allah susun dah cantik, kita sokong dan kerja saja tanpa kira siapa calon yang dikemukakan, asalkan dia seorang yang baik tidak curi duit rakyat," ujarnya. - HARAKAHDAILY 19/4/2015

Share on Myspace