EKJS di Kelantan, kenapa gempita seluruh negara?

HAZAYANI ZAKARIA | .

SELAYANG: PAS meminta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat khususnya DAP memahami perjuangan parti itu dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS banyak bertolak ansur dengan PKR dan DAP dalam beberapa isu dan berharap DAP dapat melakukan hal yang sama.

"Tak setuju tak jadi masalah.  Itu hak kita masing-masing seperti mana PAS tak bersetuju dengan pilihan raya PBT, kita beritahu secara terus terang kepada DAP kita tidak setuju.

"Kita tidak boleh terima tetapi kita tidak pernah besar-besarkan isu.  Kita tidak sampai peringkat ugut DAP, tekan DAP tetapi hormat itu perjuangan dia.

"Sikap sperti ini juga yang kita harapkan bila kita bercakap soal undang-undang jenayah Islam. Apa yang kita harapkan ialah persefahaman kawan kita dalam Pakatan Rakyat," kata beliau yang juga AJK PAS Pusat ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Selayang Kali Ke-32 dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, DAP sewajarnya menghormati PAS berhubung EKJS dan tidak bertindak melampau sehingga memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Mereka boleh tidak bersetuju itu hak mereka tetapi berilah sedikit penghormatan dan tolak ansur kepada kita.

"Jangan menekan kita dalam isu seperti ini. Jangan memaksa kita dan jangan mengugut kita sehingga memutuskan hubungan dengan presiden tetapi nak berbaik dengan PAS. Apa punya sikap seperti ini," katanya lagi.

Mohd Amar turut menegaskan, EKJS sepatutnya tidak menjadi isu besar kerana ia hanya ingin dilaksanakan di Kelantan yang mempunyai 95 peratus penduduk Melayu Islam.

"Sebab itu bila ada yang kata ustaz dan ulama tak faham waqi' dan realiti,  orang itu sebenarnya yang bebal yang tak faham pemikiran ulama.

"Kalau orang tanya saya sendiri berpandangan belum sampai masanya untuk Selangor bercakap soal undang-undang jenayah. Ada isu lain yang perlu kita selesaikan di Selangor.

 "Saya pun hairan bila orang pertikai hudud. Kita nak buat di Kelantan bukan di Malaysia. Apa yang menjadi isu yang gegak gempita di seluruh negara?" katanya.

Beliau juga berkata, Kelantan perlu diberi peluang melaksanakan EKJS sebelum meletakkan persepsi negatif berhubung undang-undang Islam itu.

"Kalau kita pertahankan semangat demokrasi, orang Kelantan minta hak mereka untuk hidup di bawah undang-undang Islam. Undang-undang ini tidak melibatkan orang bukan Islam seperti hari ini orang bukan Islam tidak boleh didakwa di mahkamah syariah.

"Jangan ada di kalangan orang PAS pertikai, selesai dulu masalah banjir baru laksana hudud. Ini perjuangan PAS bukan perjuangan individu.

"Kalau kelantan gagal kita boleh kata tak boleh laksana undang-undang Islam kerana Kelantan gagal. Tapi jangan sekat proses demokrasi," katanya. - HARAKAHDAILY 19/4/2015

Share on Myspace