Pemilihan PAS: Aduan sebelum 24 April

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat mengingatkan semua kawasan yang telah bermesyuarat agar mengemukakan aduan tidak berpuas hati mereka pada atau sebelum 24 April ini.

Pengerusinya Asmuni Awi berkata, ini kerana selepas tarikh tersebut pihak jawatankuasa pemilihan akan membuat penilaian bagi melihat aduan yang diterima sebelum keputusan selanjutnya diambil.

"Sekiranya perlu diadakan pemilihan semula di peringkat kawasan ia hendaklah dibuat sebelum 15 Mei hadapan untuk membolehkan kawasan yang terlibat menghantar perwakilan ke muktamar Jun ini.

"Pemilihan yang dibuat lewat akan menafikan hak kawasan berkenaan untuk menghantar wakil pada muktamar nanti," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau berkata, pihak kawasan hendaklah mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku masalah dan pertikaian perjalanan keputusan nanti.

Beberapa aduan yang diterima jelas Asmuni ia tidak lebih kepada aduan berkenaan perjalanan mesyuarat agung kawasan.

"Kebanyakkan aduan yang diterima daripada lima kawasan di Selangor termasuk di Puchong, Subang, dan Kuala Langat dan membabitkan satu aduan di peringkat Dewan Pemuda PAS Tumpat," katanya.

Antara aduan yang diterima katanya, melibatkan senarai calon yang bertanding tetapi nama mereka tercicir, keadaan ini perlu tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun beliau menolak aduan ini diterima kerana faktor sabotaJ sebaliknya ia melibatkan kelemahan pengurusan.

"Kelemahan ini mungkin disebabkan tidak faham dan tidak teliti Buku Peraturan Pemilihan PAS 2014 yang telah diedarkan kepada semua negeri dan kawasan," katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2015

Share on Myspace