Tun M ingin selamatkan Malaysia bukan Umno

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana, Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan Malaysia kepada landasan yang betul dan bukannya untuk menyelamatkan Umno.

Perkara tersebut dikongsikan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi.

Beliau turut berkata, Mahathir lebih mengetahui apa yang beliau lakukan dan Najib sepatutnya tampil secara terbuka menjelaskan persoalan yang ditimbulkan.

"Cara terbaik untuk Najib beri penjelasan adalah melalui bersemuka sama ada forum atau debat.

"Najib tidak boleh melarikan diri kerana Mahathir lebih mengetahui, beliau (Mahathir) ingin menyelamatkan negara ini dan bukannya untuk menyelamatkan Umno.

"Kalau untuk menyelamatkan Umno sesiapa yang pegang jawatan Perdana Menteri perkara yang sama akan berulang," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena ketika ditanya tentang pendirian yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Mahathir tidak bersendirian dalam usaha mencari kebenaran.

Katanya, apa yang diperkatakan itu menunjukkan beliau (Muhyiddin) turut risau dengan apa yang berlaku dan berharap kebenaran diperoleh dalam isu ini.

"Saya percaya apa yang Muhyiddin perkatakan itu mengikut kehendak rakyat dan bukannya desakan daripada mereka yang berkepentingan di dalam Umno atau kerajaan.

"Muhyiddin turut mempunyai pendapat yang sama seperti Mahathir dalam mencari kebenaran, kenapa Najib perlu takut untuk tampil berdepan," sambung beliau lagi. – HARAKAHDAILY 20/4/2015

Share on Myspace