Permatang Pauh: Keputusan PAS bantu PKR tidak berubah

HAZAYANI ZAKARIA | .

KUALA LUMPUR: PAS tetap dengan keputusan akan membantu PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh tanpa mengira siapa pun calonnya.

Mohamad Sabu berkata, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat PAS Pusat yang dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 13 April lalu.

Timbalan Presiden PAS itu menambah, keputusan tersebut masih terpakai sehingga hari ini dan tidak ada keputusan baru dibuat.

"PAS meneruskan sokongan kepada calon pilihan raya daripada PKR Permatang Pauh tak kira siapa sahaja yang menjadi calon.

"Keputusan ini dibuat PAS Pusat dalam mesyuarat pada 13 April dan mengarahkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak untuk membantu calon Pakatan Rakyat di Permatang Pauh," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Justeru beliau yang juga Pengarah PRK Permatang Pauh menyeru jentera PAS agar turun membantu gerak kerja pada PRK itu.

"Oleh itu saya sebagai pengarah pilihan raya bagi pihak PAS Pusat menyeru semua jentera pilihan raya PAS di negeri-negeri yang disebut tadi dan ahli dan para penyokong turun membantu calon Pakatan Rakyat di Permatang Pauh," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Ditanya mengenai kemungkinan PAS Permatang Pauh tidak akan membantu PRK jika PKR meletakkan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon, Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat.

"Kenyataan itu pimpinan akan bincang tapi keputusan untuk bantu Permatang Pauh masih tidak berubah," katanya. - HARAKAHDAILY 20/4/2015

Share on Myspace