PRK Rompin: AMK Pahang sokong penuh calon PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang menegaskan bahawa sokongan penuh tanpa syarat akan diberikan kepada calon yang bertanding mewakili PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.
 
Ketuanya, Wong Chun Yuan berkata, AMK Pahang mengambil pendirian bahawa segala gerak kerja dalam PRK Rompin dan Permatang Pauh harus dijalankan berdasarkan semangat Pakatan Rakyat.

"AMK Pahang akan memberi kerjasama penuh kepada jentera pilihan raya Pakatan Rakyat PRK Rompin," ujarnya dalam satu kenyataan.
 
Katanya, keputusan PRK kali ini bukan sahaja bergantung kepada sokongan rakyat terhadap parti komponen Pakatan Rakyat, tetapi juga akan menjadi referendum suara rakyat terhadap isu-isu semasa seperti pelaksanaan GST, pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu 1MDB dan sebagainya.
 
AMK Pahang juga, ujarnya mengingatkan semua pihak bahawa anak-anak muda yang mendukung perjuangan Pakatan Rakyat tidak akan memberi sokongan terhadap sebarang usaha mana-mana pihak yang bertujuan untuk mensabotaj perjuangan Pakatan Rakyat dalam mencapai kemenangan dalam kedua-dua PRK itu.
 
"Akhir sekali, AMK Pahang menjemput anak-anak muda supaya turun beramai-ramai bersama Pakatan Rakyat pada hari penamaan calon PRK Rompin 22 April ini bagi menyatakan bantahan terhadap ketirisan dan kepincangan yang berlaku di dalam Malaysia," ujarnya lagi.

PAS akan mengumumkan calonnya yang bertanding pada PRK Rompin di Pusat Perniagaan Bandar Satelit, Muadzam Shah jam 9.00 malam ini. - HARAKAHDAILY 20/4/2015

Share on Myspace