Pencalonan AJK Pusat, Pemuda, Muslimat berakhir 30 April

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi Jawatankuasa PAS Pusat, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat hendaklah diserahkan selewat-lewatnya pada 11.59 malam 30 April ini ke Pejabat Agung PAS.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Asmuni Awi berkata, tarikh akhir pencalonan itu tidak termasuk untuk Dewan Ulamak PAS Pusat.

Bagaimanapun katanya, pihak jawatankuasa akan bermesyuarat sebaik sahaja pencalonan ditutup dan akan memaklumkan calon-calon yang layak bertanding pada 5 Mei nanti.

Dalam pada itu, beliau kesal apabila masih berlaku kempen-kempen kotor pada pemilihan kali ini walaupun pihak jawatankuasa telah menggariskan peraturan dan larangan berkempen kepada ahli.

"Ramai yang langgar etika dengan melabelkan individu tertentu melalui poster sehinggakan boleh menjatuhkan maruah calon, seperti 'perosak aqidah', 'liberal', 'ortodoks'. Banyak tersebar di media sosial.

"Cumanya saya tidak pasti siapa punya kerja sama ada dilakukan oleh ahli PAS atau mereka yang menangguk di air yang keruh," katanya.

Beliau tidak menolak cara kempen sebegini akan mendedahkan kepada pelbagai tindakan oleh mereka yang menjadi mangsa untuk difailkan kerana reputasi mereka terjejas.

"Walaupun tindakan disiplin diambil atau tidak, tetapi tidak menghalang mereka yang terjejas dari ambil tindakan kepada orang yang buat fitnah,"katanya.

Tegasnya, keadaan ini sekali gus akan menjejaskan imej parti yang akan memberi kesan lebih besar.

"Kita benarkan kempen pun mereka buat macam ni juga, kalau tidak benarkan pun mereka buat juga," ujarnya kepada media di Pejabat Agung PAS hari ini.

PAS Pusat telah menetapkan lokasi untuk melaksanakan muktamar di peringkat dewan-dewan iaitu Dewan Ulamak PAS Pusat akan bersidang di Dewan Datuk Fadzil Noor (Kuizm), Dewan Pemuda PAS Pusat pula di Dewan Jubli Perak Shah Alam dan Dewan Muslimat PAS Pusat di Shah Alam Convention Centre (SACC) di Shah Alam.

Muktamar di peringkat dewan ini akan bermula pada 2 dan 3 Jun manakala Muktamar PAS Pusat yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor bermula pada 4 hingga 6 Jun 2015. – HARAKAHDAILY 20/4/2015

Share on Myspace