KJS: Kelantan bantah kes saman pemula Gerakan

SALMAH MAT HUSSAIN | .

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi dianggap tidak mempunyai bidang kuasa mendengar kes saman pemula Gerakan berkaitan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah tanpa mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan.

Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan Shahidani Abdul Aziz berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 128, kes seperti itu perlu didengar di Mahkamah Persekutuan.

Kes saman tersebut didengar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah. Gerakan diwakili peguam Andy Yong.

Pada 19 Mac lalu Gerakan memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang hendak dilaksanakan di Kelantan.

Saman itu difail tiga anggota parti berkenaan iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie.

Plaintif berpendapat Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 menyalahi undang-undang kerana menganggap Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang.

Sehubungan itu Hakim Azman menetapkan 7 Mei ini bagi keputusan bantahan awal kerajaan negeri terhadap saman pemula tersebut.

Turut hadir di mahkamah anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga seorang peguam. – HARAKAHDAILY 20/4/2015

Share on Myspace