PAS Pusat putuskan beri kerjasama di Permatang Pauh

MUHAMAD FAIZAL | .

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan keputusan yang dibuat PAS Pusat mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh mengatasi PAS kawasan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Katanya, PAS memutuskan akan memberi kerjasama penuh kepada calon PKR yanh bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Isu ini timbul bila keputusan itu dibuat pada mesyuarat PAS Kawasan Permatang Pauh, kita hormati setiap keputusan.

"Tetapi keputusan PAS Pusat dalam memberi kerjasama itu mengatasi setiap keputusan yang dibuat di peringkat kawasan.

"Tidak timbul lagi untuk PAS tidak mahu memberi kerjasama," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini.

Beliau berharap agar setiap ahli akan turut memberi kerjasama dan memenangkan calon PKR yang bertanding di Permatang Pauh.

Pengumuman calon PRK Permatang Pauh pada 24 April ini.

SPR menetapkan 25 April sebagai hari penamaan calon, sementara pembuangan undi pada 7 Mei depan. – HARAKAHDAILY 20/4/2015

Share on Myspace