Parti bertanding pilih calon Permatang Pauh, Rompin

| .

PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk menyerahkan kepada parti yang bertanding dalam menentukan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, mesyuarat hari ini membincangkan calon bagi kedua-dua PRK itu.

"Mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan kepada parti yang bertanding untuk menentukan calon masing-masing.

"PKR dan PAS telah membentangkan keputusan parti masing-masing kepada Majlis Setiausaha dan disepakati oleh mesyuarat," katanya selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Majlis Setiausaha memberi jaminan, keseluruhan jentera Pakatan Rakyat akan turun ke Permatang Pauh dan Rompin bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat.

"Selain itu kita turut berbincang bebanan yang ditanggung rakyat akibat pelaksanaan GST.

"PAS, PKR dan DAP akan menggerakkan seberapa ramai anggota untuk turut sama 1 Mei ini sebagai bantahan kepada GST," katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberitahu, PAS akan mengumumkan calon bagi PRK Rompin pada malam ini.

Katanya, PAS turut menyatakan komitmen untuk bersama-sama PKR pada PRK Permatang Pauh nanti.

Dalam pada itu, DAP melalui Setiausaha Organisasinya Antony Loke berkata, sebagai rakan di dalam Pakatan Rakyat, parti itu akan turut memberi kerjasama membantu PAS dan PKR pada kedua-dua pilihan raya kecil itu. - HARAKAHDAILY 20/4/2015

Share on Myspace