MCA perlu faham adab orang Islam berhibur

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mempersoalkan tindakan MCA yang cuba campur tangan dalam soal hak orang Islam untuk mengamalkan adab mereka sendiri dalam kaedah berhibur.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan adalah menjadi kewajipan pihak agensi Agama untuk menentukan kawalan terhadap masyarakat Islam dalam acara hiburan, terutama apabila dilakukan secara terbuka.

Terdahulu, Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun menyifatkan garis panduan konsert yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini tidak menggambarkan pembangunan industri hiburan yang kreatif.

"Pendapat ini adalah dangkal dan merupakan campur tangan MCA dalam soal hak orang Islam untuk mengamalkan adab mereka sendiri dalam kaedah berhibur," ujar beliau.

Katanya, berdasarkan insiden konsert K-Pop yang melibatkan gadis Melayu Islam bertudung dipeluk dan dicium di atas pentas sebelum ini amat memalukan dan tidak wajar berlaku .

Tambahnya, reaksi masyarakat Islam kesal terhadap insiden tersebut dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak supaya ia tidak berulang.

"Kami mengesa MCA tidak cuba memyamakan adab pergaulan orang Islam dan bukan Islam dalam acara berhibur.

"Adalah hak orang Islam untuk mengikut adab sosial berdasarkan peraturan agama, manakala orang bukan Islam juga harus mengikut tatasusila yang bermoral berdasarkan budaya Timur," tegas beliau dalam satu kenyataan.

Jelas Azmi, sekiranya MCA mahu anak muda mengikut budaya hiburan Barat yang liar seperti yang menjangkiti masyarakat Korea Selatan sekarang, kononnya sebagai tanda kreativiti dalam perkembangan industri hiburan, maka jelas pemimpin MCA tidak memahami Rukun Negara yang menekankan soal kesopanan dan kesusilaan.

Justeru Mapim menyokong penuh garis panduan itu yang diperakui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Februari lalu, iaitu melarang memasukkan sebarang unsur ritual, tanda atau simbol yang bertentangan dengan Islam adalah panduan yang wajar demi menjaga dan menghormati negara ini yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Kami kesal terhadap kenyataan Chew, yang berfikiran dangkal apabila berpendapat mengasingkan penonton mengikut jantina akan mengurangkan interaksi dan persaudaraan antara orang ramai.

"Isunya ialah orang Islam lebih mementingkan adab dan akhlak berdasar syariah dalam apa sahaja bentuk aktiviti sosial , bukan hanya soal interaksi," tambah beliau. – HARAKAHDAILY 21/4/2015

Share on Myspace