Bantah pendakwaan, solidariti untuk 3 mahasiswa UIAM

| .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan tindakan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) menghadapkan tiga mahasiswa ke Mahkamah Universiti bercanggah dengan hak kebebasan berhimpunan dan bersuara.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kebebasan berhimpun dan bersuara telah dijamin oleh oleh Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan pula, perhimpunan tersebut diadakan di luar perkarangan Universiti.

Pihak Pentadbiran UIAM membawa tiga orang mahasiswanya ke Mahkamah Universiti kerana didakwa terlibat dalam Pidato Umum- Jelajah Mahasiswa’ yang disifatkan sebagai perhimpunan haram.

Tiga orang mahasiswa terbabit Abdul Malik Abd Razak, Muhammad Mujahid Mohd Sulaiman dan Muna ‘Adila Che Rime.

Mereka telah menerima surat hadir mendengar pertuduhan pada hari ini berhubung keterlibatan di dalam Pidato Umum- Jelajah Mahasiswa, Bebaskan Universiti, Kerajaan Mahasiswa yang diadakan pada 7 November 2014 lepas.

"Ketiga-tiga mahasiswa tersebut bukannya melakukan jenayah atau salah laku moral. Mereka hanya menjalankan sebahagian daripada tugas mahasiswa untuk menjadi agen penerangan kepada masyarakat terutamanya komuniti mahasiswa sebagai ‘semak dan imbang’ kepada parti politik dan kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Tindakan pihak UIAM itu katanya, menyekat aktiviti dan aspirasi mahasiswa dengan kuasa undang-undang yang disalahgunakan seperti ini sekali gus akan menyekat pembangunan dan kelestarian kepimpinan generasi muda yang akan merugikan masa depan bangsa dan tanah air.

"Datuk Seri Rais Yatim, replika keris dan khat Iqra’ ala Umno adalah lambang pengaruh dan kuasa Umno mentadbir UIAM. Ayuh kita bersolidariti untuk UIA3M hari ini, bebaskan universiti daripada cengkaman Umno," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus. - HARAKAHDAILY 21/4/2015

Share on Myspace