Penduduk asal Sarawak tanpa MyKad perlu bantuan

JOFRI JARAIEE | .

 

Janggau bersama anak lelakinya

Borang APBL (L) Akuan Penerimaan Borang Permohonan Sijil Kelahiran (Lewat)

MIRI: Seorang penduduk di Sungai Dalam di kawasan Lambir, Miri mengadu yang beliau sudah beberapa kali memohon dokumen pengenalan diri dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi gagal kerana tidak mendapat surat sokongan dari Tuai rumah panjang tempat asal kedua orang tua beliau.
 
Janggau salah seorang wanita yang sudah mempunyai keluarga sehingga kini masih belum memiliki MyKad disebabkan ibubapa beliau tidak mendaftar atau lewat mendaftar kelahiran beliau. Beliau berasal dari Rh Chabu , Sungai Liam Lepong Ajai, Bakong, Baram.
 
Sebelum ini beliau pernah mengadu masalah ini kepada JPN tetapi disebabkan beliau tidak mendapat surat sokongan daripada rumah panjang tempat kelahiran beliau menyebabkan proses pendaftaran untuk mendapatkan MyKad beliau menghadapi masalah untuk kelulusan dari pihak JPN.
 
Walaupun beliau sudah mengisi Borang APBL (L) Akuan Penerimaan Borang Permohonan Sijil Kelahiran (Lewat) yang ditandatangani oleh pihak Pendaftar Wilayah Kelahiran dan kematian Sarawak tetapi JPN masih belum lagi dapat memproses MyKad beliau. Menurut beliau, JPN mahu surat sokongan dan pengesahan daripada pihak berkenaan untuk mendapatkan kelulusan memproses MyKad baru.
 
Persoalan beliau ialah mengapa pihak JPN tidak dapat memproses pemohonan beliau sedangkan kedua orang tua beliau memang asal penduduk Sarawak. Beliau juga memiliki surat nikah dan memiliki 3 orang anak, hanya beliau seorang saja yang tidak memiliki MyKad sedangkan anak-anaknya dan suaminya ada Mykad.
 
Inilah masalah yang selalu dihadapi oleh penduduk asal Sarawak yang tinggal jauh di pedalaman yang sukar untuk mendaftar kelahiran serta memilki dokumen pengenalan diri disebabkan jalan perhubungan yang sukar dilalui pada masa lalu.
 
Kebanyakan mereka ini adalah penduduk miskin serta sukar untuk keluar ke bandar-bandar berdekatan untuk mendaftar kelahiran anak mereka.
 
Beliau merayu kepada pihak kami agar masalah beliau mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan Sarawak serta JPN untuk dapat membantu beliau  mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah sebagai warga negara Malaysia kerana selama ini pemohonan beliau ditolak disebabkan tidak miliki dokumen pengenalan diri serta tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari pihak yang berkenaan.
 
PAS mengesa pihak JPN dapat mempertimbangkan permohonan beliau dengan segera kerana beliau memang penduduk asal Sarawak.
 
Pihak JPN juga perlu aktif membuat pendaftaran penduduk asal di Sarawak yang tinggal jauh di pedalaman yang kurang kemudahan Infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik, telekomunikasi, dan sebagainya.
 
PAS juga mengharapkan pihak kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem dapat menunaikan janji mereka untuk memberi tumpuan kepada penduduk luar bandar yang kurang bernasib baik ini agar kehidupan mereka lebih terjamin serta tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
 
Kami berharap  kerjasama dengan pihak kerajaan serta JPN untuk mengatasi masalah penduduk asal tanpa dokumen pengenalan diri dapat ditangani dengan segera amat dihargai. – HARAKAHDAILY 21/4/2015

Share on Myspace