SRC International: Satu lagi skandal kewangan?

DR. ROSLI YAAKOP | .

SYARIKAT SRC International Sdn. Bhd. ditubuhkan dalam tahun 2011 sebagai anak syarikat milik penuh "Dana Daulah" 1MDB. Kemudiannya (sekitar bulan Mac 2012) diserahmilik kepada Kementerian Kewangan. Apakah muslihatnya 1MDB menyerahkan hak milik syarikat itu kepada kerajaan tidak dijelaskan dan kekal menjadi tanda tanya sehingga kini.

Namun, menurut Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan, syarikat ini masih ada kaitan dengan 1MDB (lihat "SRC International ditubuh sebagai anak syarikat 1MDB - Rafizi" dalam Keadilandaily, 20 Januari 2015).  

Rafizi menyebut bahawa ahli lembaga pengarah syarikat, adalah juga ahli lembaga pengarah 1MDB. Maknanya, syarikat berkenaan masih ada kaitan dengan 1MDB walaupun yang empunyanya sekarang Kementerian Kewangan. Soalannya, kenapakah berlaku sedemikian? Apa muslihatnya?

Perkara yang hangat diperkatakan sekarang ialah syarikat yang hanya bermodal RM1 juta ini telah mengambil hutang sebesar RM4 bilion daripda Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Ditakuti, syarikat ini bakal menjelma menjadi satu lagi "skandal kewangan" khasnya bila diperhatikan wujud unsur-unsur ketidaktelusan dalam urus niaga syarikat dan maklumat yang bercanggah mengenai kegunaan wang yang dipinjam dari KWAP itu yang datang dari tuan empunya syarikat - Kementerian Kewangan.

Betulkah SRC International Sdn. Bhd. ada meminjam wang daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) seperti didakwa?  

Penganalisis merujuk kepada laporan kewangan syarikat untuk tempoh daripada 7 Januari 2011 (tarikh penubuhan syarikat) hingga 31 Mac 2012 yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang sebahagiannya boleh dilihat di dalam internet. Jawapannya: memang ada, berjumlah RM4,055,916,753 (diperinci di bawah Nota 17 yang mengiringi penyata kewangan berkenaan).

Amatlah memeranjatkan apabila diketahui pinjaman ini tidak bercagaran, cuma dijamin oleh kerajaan Malaysia. Bermakna, dari segi akaun awam, ia terklasifikasi di dalam kategori "off-balance sheet liability" yang tidak diambil kira dalam pengiraan hutang negara. Jika SRC International Sdn. Bhd. gagal, maka beban hutang ini akan ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Bagaimanakah wang yang dipinjam dari KWAP itu dilaburkan oleh syarikat?

Berdasarkan penyata kewangan setakat 31 Mac 2012, ia dilaburkan seperti berikut: RM2,000,231,479 dalam "other financial asset" (48.8%), RM1,742,253,047 dalam "short-term deposits with license banks" (42.4%), RM184,079,584 dalam "Investment in jointly controlled entity" (4.5%) dan dipegang dalam bentuk tunai dan baki dibank - RM51,685,257 (1.3%). Ini bermakna, dana masih diparkir sementara, belum lagi dilaburkan dalam mana-mana projek.

Selanjutnya, seperti yang dinyatakan di dalam penyata akaun, syarikat SRC International Sdn. Bhd. memiliki 100% syarikat SRC International (Malaysia) Limited yang sebelum ini namanya Corporate Point (BVI) Ltd., berpengkalan di British Virgin Island.

Aktiviti utama anak syarikat ini ialah "kegiatan berkait dengan energi dan pegangan pelaburan." Selanjutnya, syarikat SRC International (Malaysia) Limited pula memiliki 100% dua anak syarikat, iaitu, Pristine Link (BVI) Ltd. yang belum beroperasi lagi tetapi bakal bergiat dalam bidang energi dan kegiatan yang berkaitan dan juga sebagai syarikat pegangan pelaburan.

Satu lagi anak syarikat milik penuh SRC International (Malaysia) Limited ialah PT SRC Indonesia (berpengkalan di Indonesia) yang kegiatan utamanya ialah "management consulting business."

Hal ehwal dan kedudukan kewangan terkini anak-anak syarikat yang disebut di atas tidak diketahui.
 
Seperti disebut, modal berbayar (share capital) syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM1juta. Setakat 31 Mac 2012, ialah mengalami kerugian berjumlah RM78,546,907. Syarikat adalah di dalam kedudukan tanggungan lebih besar daripada harta, iaitu, tanggungan melebihi harta sebanyak RM77,546,907. Bermakna, prestasi syarikat ini dalam kategori "teruk" dan mungkin inilah sebabnya 1MDB "memindahkan" syarikat ini kepada Kementerian Kewangan.

Kelihatannya, 1MDB mahu membebaskan diri daripada menanggung kerugian yang menimpa SRC International Sdn. Bhd. dan beban hutang yang ditanggungnya. Sekiranya syarikat berkenaan kekal menjadi anak syarikat milik penuh 1MDB, tentulah kerugian dan hutang yang ditanggung syarikat berkenaan menjadi tanggungan 1MDB.

Menurut Tony Pua, Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, kerugian syarikat telah meningkat kepada RM164.4 juta (sepertimana yang dilaporkan di dalam penyata kewangan syarikat yang terkini).

Khabarnya, Tony Pua telah membangkitkan isu suntikan dana KWAP ke dalam syarikat SRC International Sdn. Bhd. ini di parlimen (lihat "Putrajaya: SRC International fund in natural resource and coal investment" - Malaymail online, 18 Mac 2015). Jawapan Kementerian Kewangan ialah, seperti yang dipetik di dalam rencana berkenaan: "... dana berkenaan telah dilaburkan di dalam projek sumber-sumber asli dan arang batu, di dalam negara dan di luar negara."  

Jawapan berkenaan, menurut Tony Pua, bercanggah dengan penjelasan yang diberikan oleh syarikat seperti yang terkandung di dalam penyata akaun tahun 2014. Dalam penyata akaun berkenaan, SRC International Sdn. Bhd. menyatakan bahawa dana berjumlah RM3.81 bilion dilabur di dalam "investment portfolio outside Malaysia."  Apakah ini bermakna, dana berkenaan masih belum dilaburkan lagi di dalam projek yang disebut oleh Kementerian Kewangan seperti di atas? Jawapan yang diberi tidak jelas.

Apabila terus diasak YB Tony Pua, Kementerian Kewangan memberi penjelasan tambahan bahawa "SRC International entered a 50:50 joint-venture with Gobi Coal & Energy" di Mongolia. Namun, jawapan itu tidak langsung menyebut jumlah dana yang dilaburkan.

Pengiraan (anggaran) yang dibuat sendiri oleh Tony Pua menunjukkan jumlah pelaburan SRC International Sdn. Bhd. di dalam syarikat Gobi Coal & Energy Limited, Mongolia hanya sekitar USD13-14 juta atau RM50 juta. Beliau lalu mempersoalkan: Ke manakah bahagian yang besar dari dana berkenaan dilaburkan?

Sebelum ini, di dalam jawapannya kepada soalan yang dibangkitkan di parlimen, Menteri Kewangan pernah memberi jawapan bahawa "the company was set up to handle a few strategic national infrastructure projects.”

Juga, ada disebut oleh Kementerian Kewangan  bahawa “SRC was a strategic company with a long-term view to implement strategic infrastructure projects that will double the country's efforts to spur sustainable, long-term growth.”

Persoalannya: Yang mana satu sebenarnya perniagaan yang dijalankan oleh SRC International Sdn. Bhd. ini? Pelaburan itu di luar negara atau di dalam negara atau kedua-duanya? Kalau hendak melabur di dalam negara, kenapakah wang dipindahkan ke offshore center?

Kenapakah melabur di Mongolia? Adakah pemindahan dana ke luar negara itu mendapat restu Bank Negara Malaysia? Jawapan yang berdolak dalih hanya menimbulkan kecurigaan rakyat tentang motif sebenar syarikat diwujudkan.

Namun, persoalan yang lebih mendasar yang timbul daripada pemberian pinjaman oleh KWAP kepada syarikat SRC International Sdn. Bhd ini ialah:  Pertama, atas pertimbangan apakah KWAP memberikan pinjaman yang begitu besar  - RM4 bilion - kepada syarikat yang belum ada "track record" perniagaan ini?

Pihak KWAP wajar memberikan respons kepada persoalan ini. Kedua, apakah muslihatnya 1MDB memindahkan syarikat kepada Kementerian Kewangan?

Dalam perkembangan selanjutnya, Rafizi Ramli dilaporkan akan memfailkan saman sivil ke atas KWAP atas alasan, seperti yang didakwa beliau, "Careless approval of a government-guaranteed RM4 billion loan to SRC International" (lihat "Putrajaya: SRC International fund in natural resource and coal investment." - Malaymail online, 18 Mac 2015). Tindakan ini dirasakan memang wajar.

Pengalisis berpandangan adalah wajar juga Jabatan Audit Negara menjalankan audit ke atas hal ehwal syarikat SRC National Sdn. Bhd. ini kerana, pertama,  ia adalah milik penuh kerajaan. Kedua, syarikat ini telah meminjam dana awam sebagai sumber terbesar kewangannya. Ketiga, berdasarkan maklumat yang telah terdedah, wujud persoalan dalam projek apakah dana RM4 bilion milik KWAP dilaburkan?  - HARAKAHDAILY 21/4/2015

Share on Myspace