PRK Rompin: Anak ucap tahniah kepada Ustaz Nazri

HAZAYANI ZAKARIA | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) merakam ucapan tahniah kepada Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad yang diumumkan sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.091 Rompin.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, PAS membuat keputusan yang tepat apabila mencalonkan Nazri, 40, yang merupakan anak peneroka Felda Keratong 5.

"Sudah tentu saya berbangga dengan penghargaan yang diberikan PAS Pusat dan PAS Pahang kepada Ustaz Nazri.

"Beliau anak peneroka Felda, dengan jawatan beliau sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin dan Ketua Pemuda PAS Pahang dan sering menyertai program Anak, saya yakin beliau dapat menggalas amanah yang diberi dengan baik," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, pengundi di Parlimen Rompin seramai 53,000 orang wajar memberi peluang kepada beliau untuk membawa suara mereka khususnya isu-isu berkaitan peneroka.

"Kami akan bekerja habis-habisan hingga ke 5 Mei ini bagi memenangkan Ustaz Nazri," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 5 Mei manakala tarikh bagi penamaan calon pula 22 April.

Proses penamaan calon dan penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad, Rompin.

BN telah mengumumkan Datuk Hasan Arifin sebagai calon bagi PRK Parlimen Rompin pada 18 April lalu.

Himpunan Perdana Selamatkan Felda 2.0

Sementara itu, Mazlan berkata, Anak akan mengadakan Himpunan Perdana Selamatkan Felda 2.0 di Felda Keratong 4 pada 25 dan 26 April ini.

Himpunan tersebut akan dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan akan turut dihadiri calon PAS.

"Himpunan ini bertujuan memberi info kepada peneroka-peneroka mengenai isu-isu yang berlegar di sekeliling mereka dan kesulitan yang dialami warga Felda.

"Lebih-lebih lagi apabila GST dilaksanakan ketika ini," katanya.

Menurut beliau juga, PRK Rompin merupakan medan yang sangat penting kepada PAS bagi menyampaikan maklumat kepada pengundi-pengundi khususnya di Felda.

"Saya menyeru kepada seluruh jentera PAS untuk bersama-sama dalam himpunan ini sebagai salah satu bentuk kempen kita," katanya. - HARAKAHDAILY 21/4/2015

Share on Myspace