Pelancong asing tidak perlu bayar GST, syarikat untung

HARAKAHDAILY | .

Sejak GST dilaksanakan pada 1 April 2015 yang lalu, selain dari membebankan rakyat, beberapa perkara lain juga telah ditimbulkan berkenaan pengurusan dan kos untuk melaksanakan GST ini.

Kerajaan telah memutuskan untuk mengecualikan barang-barang yang dibeli oleh pelancong dari dikenakan GST. Ini dilaksanakan melalui satu skim yang dipanggil Skim Pembayaran Semula GST untuk Pelancong (Tourist Refund Scheme).

Melalui skim ini, pelancong yang membeli barang-barang di Malaysia boleh mengisi satu borang untuk menuntut kembali GST yang dibayar.

Apabila mereka hendak meninggalkan Malaysia, mereka boleh menyerahkan borang ini dan GST akan dipulangkan kepada mereka oleh Kerajaan Malaysia.

Keseluruhan skim ini telah pun diswastakan kepada Iris Corp Berhad yang kemudiannya menubuhkan sebuah usahasama dengan syarikat Global Blue yang berpangkalan di Switzerland.

Syarikat usahasama ini diberikan konsesi selama lima tahun untuk menguruskan skim pembayaran balik semula GST kepada pelancong.

Sebagai habuan, syarikat usahasama ini akan dibayar komisen 15% dari jumlah pembayaran balik GST kepada pelancong.

Tindakan menswastakan skim pembayaran balik GST kepada pelancong melalui konsesi pada kadar komisen 15% ini sudah tentu menimbulkan rasa tidak senang rakyat kerana sedang keseluruhan rakyat terbeban dengan pengenalan GST, ada pihak tertentu yang mengaut keuntungan dari pelaksanaan GST melalui dasar penswastaan.

Jika tidak diswastakan dan diuruskan sendiri oleh Jabatan Kastam dan Eksais, komisen 15% itu akan kekal sebagai pendapatan negara dan boleh menampung perbelanjaan-perbelanjaan lain.

Sebaliknya dengan penswastaan ini, bukan sahaja pelancong asing tidak perlu membayar GST seperti rakyat Malaysia, komisen untuk membayar kembali GST kepada mereka kini menjadi keuntungan kepada syarikat swasta dan syarikat antarabangsa.

Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa ada pihak yang menikmati keuntungan dari penswastaan GST sedangkan rakyat terbanyak menanggung beban pelaksanaannya.

Pada masa yang sama, saya mengkritik kos yang telah dibelanjakan kerajaan untuk melaksanakan GST.

Walaupun telah membelanjakan RM365 juta untuk kos mempromosikan GST sahaja (seperti jawapan bertulis di Parlimen pada 24 Mac 2014), kerajaan tidak mampu untuk memberi peruntukan agar Jabatan Kastam & Eksais dapat mengendalikan skim pembayaran balik GST kepada pelancong ini sedangkan ini akan dapat menjana pendapatan negara pada masa akan datang.

Saya menyeru supaya kerajaan mengkaji semula kaedah penswastaan ini dan memendekkan konsesi yang diberikan kepada syarikat usahasama swasta itu supaya hasil kutipan GST oleh kerajaan tidak tiris kepada syarikat swasta yang mendapat konsesi seperti ini. - HARAKAHDAILY 21/4/2015

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan.

Share on Myspace