Pecat Cikgu Izzat, Pendidik rujuk Suhakam

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) akan merujuk kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung pemecatan seorang guru Mohd Nor Izzat Johari ekoran mengkritik pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Presiden Pendidik Normala Sudirman berkata, perkara ini akan dipanjangkan kepada Suhakam kerana tindakan memecat guru berkenaan jelas menzalimi warga pendidik hanya kerana beliau berani mengkritik Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

"Hanya kerana keberanian beliau yang dianggap lantang mempertikaikan pelaksanaan PBS bersama Pendidikan yang lain maka beliau dihadiahkan dengan 'surat pemecatan 'yang jelas melambangkan tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

"Walaupun beliau diberi peluang untuk menjawab surat tindakan tata tertib yang diterima sebelum ini, beliau tidak pernah diberi peluang membela dirinya di hadapan panel tata tertib secara bersemuka dan ini telah melanggar hak asasi manusia," tegas Normala.

Sebelum ini, pihak Pendidik telah menghantar memorandum ke Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Parlimen dan Putrajaya bantahan terhadap pertukaran Cikgu Izzat yang dilakukan secara tergesa-gesa.

Bagaimanapun tambah Normala, keegoan segelintir pemimpin yang memegang tampuk tertinggi dalam bidang pendidikan di KPM masih membenarkan kezaliman ini.

"Saya menyeru kepada warga pendidik di seluruh Malaysia agar bangkit dari lena yang panjang. Berani merobohkan tembok kezaliman dan tegakkan keadilan dalam dunia perguruan yang kian diperlekehkan oleh mereka yang tidak berperi kemanusiaan," katanya.

Justeru, tegas beliau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah juga memainkan peranan penting untuk membantah sebarang tindakan zalim ini kerana yang akan menjadi mangsa adalah anak cucu mereka juga.

Pendidik menyeru agar semua pimpinan dan ahli di semua peringkat negeri dan peringkat kawasan mengadakan 'Solat Hajat Perdana Membantah Kezaliman Terhadap Warga Pendidik' dalam waktu terdekat agar nasib guru terbela setelah 58 tahun negara merdeka.

Cikgu Izzat salah seorang wakil guru yang menyuarakan rasa tidak puas hati dalam kalangan para guru terhadap pelaksanaan PBS yang tidak praktikal.

Ekoran kelantangannya beliau diarahkan bertukar sekolah serta merta berkuatkuasa pada 17 Febuari 2014, namun pada 8 April 2015 Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran melalui surat rasminya telah memutuskan Cikgu Izzat dikenakan tindakan tata tertib dengan hukuman membuang kerja berkuat kuasa mulai 31 Mac 2015. – HARAKAHDAILY 22/4/2015

Share on Myspace