Mangsa banjir dibiar beratap khemah

| .

GUA MUSANG: Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mengandungi 1,000 unit hampir dua tahun siap, namun seramai 106 mangsa banjir masih dibiarkan mendiami khemah.

PPR yang terletak di bandar Baru Gua Musang mempunyai 10 blok dan setiap blok memuatkan 100 unit kediaman. Tapaknya dilulus kerajaan negeri kepada Kesedar pada 1990-an.

Penduduk mendakwa ada kediaman di PPR sudah rosak kerana diceroboh sehingga menyebabkan cermin tingkap pecah dan pendawaian elektrik tercabut.

Ekoran itu PPR sekarang dikawal ketat pegawal keselamatan. Kedudukannya begitu strategik. Tidak berlaku banjir di situ akhir Disember lepas biar pun terdapat sebatang anak sungai di sebelahnya.

Seorang penduduk, Amran Abdullah berkata, PPR sepatutnya dimanfaatkan sementara kepada mangsa-mangsa banjir yang masih berlindung di bawah khemah di tapak projek Bandar Utama Gua Musang.

“Biar pun PPR dijual dengan harga RM78,000 seunit dan pembeli hanya perlu membayar separuh daripadanya, namun selepas hampir dua tahun siap penghuninya masih belum dimuktamadkan.

“Setidak-tidaknya mangsa-mangsa banjir yang masih berteduh di bawah khemah di Bandar Utama dan kem Latihan Pusat Khidmat Negara di Taman Botani dibenarkan menumpang sementara di PPR,” katanya di sini.

Ketika tinjauan di penempatan sementara di Bandar Utama semalam, ramai mangsa banjir masih berteduh di situ. Penempatan itu diurus Majlis Keselatan Negara (MKN).

Ia dilengkapi khemah tempat solat, tandas dan bilik mandi. Namun cuaca panas dan kering sekarang membuatkan hawa dalam khemah membahang ketika tengahari.

Hampir kesemua khemah ada penghuni. Pakaian mereka kelihatan bergantungan di tepi khemah. Anak-anak yang baru pulang dari sekolah lebih selesa bermain di bawah khemah besar yang terbuka.

Ada juga pondok polis. Sebelum ini penduduk memberitahu ramai anggota Rela dan JPAM bertugas di penempatan sementara terbabit.

Bagaimanapun sekarang hanya kelihatan beberapa anggota JPAM sahaja. Ada yang bercakap elaun tugasan mereka belum dibayar kerajaan.

Mangsa banjir di situ disediakan makanan percuma setiap hari, dibekalkan kontraktor dilantik. Pembekal-pembekal makanan juga difahamkan berdepan situasi serupa.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Abdullah Husain berkata pada 18 Disember lepas sudah dipersetujui 713 pemohon layak mendapat rumah di PPR.

“Keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Perumahan Negara, ketika itu turut disertai wakil UPEN, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, ECER serta Kesedar.

“Malangnya Umno Gua Musang masih mahu melakukan pemutihan lagi. Kini lebih empat bulan berlalu masalah itu belum selesai lagi,” katanya.

Menurutnya juga memandangkan masalah berlarutan begitu lama, lebih baik ditempatkan sementara mangsa-mangsa banjir yang tinggal di bawah khemah di PPR.

Kerajaan negeri pula sedang menyiapkan 18 rumah kekal di Kampung Kolam Mas, Batu Papan dan Tanah Putih. Sebuah daripadanya di Kolam Mas sudah diduduki.

Manakala Majlis Agama Islam Kelantan sedang meratakan tanah seluas 28 ekar di Tanah Putih bagi membina 125 rumah kekal kepada mangsa banjir. - HARAKAHDAILY 22/4/2015

Share on Myspace