Salib: Rakyat gusar kenyataan 'bias' Ketua Polis Negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Abim menyambut baik arahan siasatan terhadap sekumpulan penduduk yang mendesak salib diturunkan kerana ia memberikan impak positif kepada kerukunan masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

Presiden Abim, Amidi Abdul Manan menyatakan demikian merujuk kepada arahan Kabinet agar polis menjalankan siasatan terhadap sekumpulan penduduk Taman Medan yang mendesak agar salib diturunkan.

"Reaksi segera pimpinan negara terhadap isu ini dialu-alukan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Namun, kata beliau bagi menjamin profesionalisme pihak polis Abim mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak terlibat dan bersikap berkecuali.

"Penglibatan beliau dalam kes ini boleh menimbulkan prasangka kerana abang kandung beliau Datuk Abdullah Abu Bakar turut bersama dengan kelompok tersebut.
 
"Selain itu kenyataan 'bias' beliau berkaitan insiden ini amat menggusarkan masyarakat," katanya lagi.

Justeru, ujarnya Abim menggesa agar Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim bertindak mengendalikan kes ini.

Tambahnya, Abim kesal dengan kenyataan melulu Ketua Polis Negara baru-baru ini berkaitan takrifan hasutan yang diperuntukkan undang-undang boleh mengundang padah kepada keselamatan negara. - HARAKAHDAILY 22/4/2015

Share on Myspace