PRK Rompin: 1 undi PAS, tolak GST

| .

ROMPIN: Penyertaan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin membuktikan PAS menghormati sistem demokrasi negara ini.

Calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad berkata, walaupun Umno pernah menyatakan harapan agar PAS tidak bertanding pada PRK kali ini, namun atas dasar tanggungjawab kepada rakyat PAS menyahut cabaran bertanding.

"Kita akan lakukan perubahan besar kepada rakyat, walaupun kita tahu Rompin merupakan kubu kuat Umno tetapi atas dasar perjuangan dan tanggungjawab kepada rakyat kita tetap turun bertanding.

"Kita berpegang kepada konsep sistem demokrasi dan PAS melihat ini peluang terbaik untuk kita sampaikan maklumat kepada rakyat," katanya.

Beliau turut melancarkan slogan '1 Undi PAS, Tolak GST' pada program ceramah Bilik Gerakan PAS Dun Tioman malam tadi.

Menurut beliau, pengundi perlu mengambil peluang yang ada ini sebagai isyarat mereka kepada kerajaan agar tidak terus menekan hidup rakyat melalui sistem cukai GST yang zalim.

"Pilihan raya merupakan medan perjuangan rakyat untuk membuat perubahan, peluang ini perlu diambil oleh semua pihak.

"Insya-Allah jika diberikan amanah, kita akan pastikan suara rakyat ini dibela sepenuhnya dan peluang yang ada memberi kebaikan untuk kita menegur kerajaan," katanya yang juga Yang Dipertua Kawasan Rompin.

Ustaz Nazri secara rasmi menjadi calon PAS selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Ketua Pemuda PAS Pahang itu berdepan dengan calon BN, Datuk Hasan Arifin. - HARAKAHDAILY 22/4/2015

Share on Myspace