Ustaz Nazri: Sahabat sepengajian, seperjuanganku

HARAKAHDAILY | .

SAYA mula mengenali beliau sejak tahun 1987 lagi, iaitu ketika beliau bersama-sama saya menduduki ujian temuduga Ma’ahad Darul Quran Rusila. Pada tahun berikutnya 1988 sehingga 1994 kami bersama-sama bejar di sekolah yang dinaungi oleh tokoh ulama tersohor itu.

Sepanjang pengajian, beliau memang terkenal sebagai pelajar yang sangat cemerlang dalam pelajaran, di samping itu juga beliau aktif dalam persatuan pelajar yang menyerlahkan bakat kepimpinannya.

Setelah menamatkan empat thanawi (setaraf STAM) dari Ma’ahad Darul Quran Rusila, beliau berangkat ke Syria bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah di Universiti Ulum Islamiyah di sana. Yang  mengagumkan saya semasa di Syria ialah beliau seorang yang sangat menjaga waktu dengan menyusun jadual harian dengan begitu padat sekali.

Di samping beliau mengikuti kelas di Universiti Ulum di sebelah petang, pada waktu pagi beliau mengikuti kelas pegajian secara mustamik di Universiti Damsyiq. Sebelah malam pula beliau berulang alik dari satu masjid ke masjid bertalaqqi kitab dengan ulama-ulama muktabar di sana. Di celah-celah waktu itu juga beliau masih sempat menghafal 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lebih kurang dua tahun sahaja.

Tempoh hampir empat tahun di Syria, beliau sempat belajar di dua universiti, satunya secara mustamik (pengajian umum tanpa menduduki peperiksaan), sempat bertalaqqi banyak kitab dengan ulama-ulama muktabar antaranya termasuklah Syeikh Sodiq Habannakah, Syeikh Dr Mustafa Bugha, Syeikh Rushdi Qalam, Syeikh Usamah Rifaie, Dr Wahbah Zuhaili.

Beliau juga sempat menamatkan hafalan 30 juzuk alQuran dengan Syeikh Bilal Rifaie, dan mendapat ijazah al-Quran beserta sanad dari Syeikh Khalil Hiba. Satu pencapaian yang mungkin kebiasaannya memerlukan puluhan tahun pegajian tetapi beliau mampu melakukannya dalam waktu yang singkat. Sikap beliau inilah juga memotivasikan saya untuk bersaing dengannya.

Ketika belajar di Mesir pula, beliau dianggap sebagai "tok guru" kerana beliau sangat aktif dalam mmbantu para ustaz di sana dengan kelas-kelas tambahan dan menjadi tempat rujukan kebanyakan pelajar terutamanya di kampus al-Azhar cawangan Damanhur Mesir.

Setelah pulang ke tanah air, beliau banyak ditawarkan jawatan yang penting dalam bidang agama dan pendidikan, tetapi beliau berbincang dengan kepimpinan dan sahabat, kerana bimbangkan kerjayanya menjadi penghalang kepada kerja-kerja dakwah dan perjuangan.

Akhirnya beliau tekad untuk mewakafkan diri dengan perjuangan walaupun mempunyai kelayakan untuk memperolehi pekerjaan yang gajinya agak lumayan.

Bagi diriku pula kini beliau merupakan sahabat, guru, tempat rujukan masalah-masalah agama dan perjuangan.

Kini beliau diamanahkan menjadi Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang dan juga Yang Dipertua PAS kawasan ROMPIN dan terakhirnya beliau dipilih menjadi calon bagi PRK Rompin. Siiru ala barakatillah.

Coretan sahabatmu. - HARAKAHDAILY 22/4/2015

KHAIRUL AZMI ISMAIL
Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pahang

Share on Myspace