Hudud: PAS mahu Malaysia selamat

SALMIYAH HARUN | .

SHAH ALAM: Tidak menjadi masalah kepada PAS sekiranya kalah di dalam pilihan raya asalkan negara Malaysia berada dalam keadaan selamat, demikian tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, PAS memperkenalkan hudud kerana mahu melihat negara ini selamat dari gejala jenayah yang semakin berleluasa.

"Tidak menang dalam pilihan raya pun tak apa janji Malaysia selamat. Kita mahu negara selamat. Selamatkan negara dahulu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada peserta dalam Bicara Minda; Hudud Dari Kaca Mata Hadi di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini petang semalam.

Malah katanya, bagi PAS menang atau kalah tidak menjadi masalah kerana PAS adalah parti yang berjuang sepanjang masa.

"Kami buat kesimpulan ramai orang dalam Pakatan Rakyat takut hilang undi. Pengundi tidak undi kita kerana hudud," ujar beliau ketika menjawab pertanyaan audien berhubung hudud yang mendapat tentangan daripada rakan-rakan Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 23/4/2015

Share on Myspace