GST: Najib makin dibenci, teh tarik pun kena cukai 6%

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kebencian membuak-buak terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menjadikan serangan dan kritikan Tun Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak lebih mendapat sambutan daripada rakyat.

Menurut penulis Shahbudin Husin, ini kerana Mahathir jelas tidak berapa senang dengan GST dan meminta rakyat menunjukkan bantahan mereka di peti undi jika tidak bersetuju dengannya.

Berikut tulisan penuh beliau dalam blognya.

Tidak sampai sebulan selepas cukai GST dilaksanakan pada 1 April lalu, rungutan rakyat mengenainya boleh didengari di mana-mana saja ketika ini.

Tidak saja rakyat biasa dan mereka yang tidak berparti, ahli Umno dan penyokongnya pun tidak segan-segan mengeluh mengenai cukai baru ini. Yang memihak parti lawan tentulah boleh dijangka reaksi mereka.

Rata-rata mengadu perbelanjaan mereka sekarang ini mulai bertambah berbanding sebelum GST dilaksanakan. Ini kerana apa saja pembelian dilakukan, tambahan 6 peratus sudah sedia menunggu.

Jika di restoran tertentu pula, ia termasuk lagi caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus. Akhirnya tambahan yang terpaksa dikeluarkan ialah sebanyak 16 peratus.

Dalam pada itu, ada pula peniaga yang mengalami kekurangan pelanggan sejak cukai GST ini dikuatkuasakan. Mereka mengeluh ada pelanggan yang membatalkan hasrat membeli barangan apabila diberitahu ianya dikenakan cukai tersebut.

Seorang pengusaha bakeri di sebuah pusat membeli belah berkata, pelanggannya jelas berkurangan sejak GST dilaksanakan kerana ramai yang enggan membayar tambahan harga 6 peratus itu.

Di pelbagai lapisan masyarakat, rata-rata menyifatkan GST adalah umpama 'pukat harimau' yang mengaut secara borong mangsanya, dari ikan paling besar hinggalah kepada sekecil-kecil ikan bilis.

Seorang Ahli Parlimen dari Sabah misalnya yang membayar kos rawatan untuk anaknya sebanyak RM20,000 dan ubat-ubatan lagi sebanyak RM5,000 turut mengeluh kerana GST menyebabkannya terpaksa membayar tambahan 6 peratus lagi daripada jumlah itu.

Semua aspek perbelanjaan rakyat ketika ini mengalami kenaikan, tidak kira sama ada seseorang itu orang kaya mahupun orang miskin. Malah ramai juga bersungut kerana aktiviti kesukaan harian iaitu minum teh tarik bersama rakan-rakan pun turut dikenakan GST.

Selain itu, walaupun ada barangan tertentu dikecualikan GST tetapi apabila mereka membelinya di pasar raya, semuanya dikira sekali dan dari jumlah keseluruhannya tetap juga dikenakan tambahan 6 peratus itu.

Hakikat bahawa ada barangan tertentu turun harga seperti mana yang digembar-gemburkan oleh kerajaan, langsung tidak dirasai oleh rakyat. Apa yang mereka rasai hanyalah kenaikan saja.

Bagi yang membayar bil-bil harian juga mulai mempersoalkan kewajaran mereka dikenakan cukai GST sedangkan yang lebih mengaut keuntungan ialah syarikat pengendalinya.

Dalam keadaan sekarang, selain syarikat pengendali harus membayar cukai perniagaan mereka, rakyat yang menjadi pengguna juga turut dibebankan sama.

Apakah ini maknanya apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan bahawa GST adalah sistem cukai yang lebih telus, cekap dan berkesan?

Dengan GST umpama "pukat harimau" yang mampu menangkap sesiapa saja sebagai mangsanya, rakyat sebenarnya lebih percaya ia adalah kaedah paling mudah bagi kerajaan untuk mengaut perolehan yang lebih baik bagi mengisi kantung perbendaharaan negara yang selalu menipis akibat pemborosan dan pembaziran.

Dan ini sekaligus meletakkan kerajaan pimpinan Najib Razak lebih dibenci majoriti rakyat kerana seolah-olah menjadikan mereka sebagai mangsa pembulian yang berterusan.

Baru tidak sampai sebulan, luapan kebencian akibat GST ini sudah boleh dirasai di mana-mana. Bayangkan jika setelah 3 bulan, 6 bulan atau setahun selepas ini?

Kebencian yang makin membuak-buak ini jugalah yang menjadikan serangan dan kritikan Tun Mahathir terhadap Najib lebih mendapat sambutan daripada rakyat. Ini kerana Tun Mahathir jelas tidak berapa senang dengan GST dan meminta rakyat menunjukkan bantahan mereka di peti undi jika tidak bersetuju dengannya.

Apa yang mereka harapkan dengan berlakunya perubahan kepimpinan melalui apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir nanti, akan berlaku sesuatu yang positif berkenaan GST ini.

Oleh kerana ia sudah dilaksanakan, ramai yang bersetuju mungkin agak sukar untuk membatalkan terus perlaksanaan cukai itu tetapi kadar 6 peratus yang dikenakan sekarang tentu boleh dikurangkan kepada 4 atau 3 peratus misalnya.

Melihat kepada serangan Tun Mahathir yang semakin agresif, dari 1MDB dan Sirul tetapi kini makin melebar kepada aspek lain seperti  Jambatan Bengkok, Rel Berkembar, budak-budak tingkat 4 ala British, pembaziran dan sebagainya, adalah langkah terbaik dalam meraih sokongan jika isu kadar GST yang dianggap membebankan turut menjadi subjek bekas Perdana Menteri itu selepas ini.

Percayalah, Tun Mahathir akan lebih disokong dan disukai rakyat jika turut menolak kadar 6 peratus itu. - HARAKAHDAILY 23/4/2015

Share on Myspace