SPR perlu lebih tegas, jamin kempen lebih adil

HARAKAHDAILY | .

Saya menggesa agar dilaksanakan satu pilihan raya yang lebih adil dan telus terutamanya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh kali ini.

Ini kerana sering kali pilihan raya yang berlaku tidak mempunyai ‘padang yang sama rata’ terhadap parti-parti yang bertanding untuk bersaing secara sihat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pasti di antara mereka yang paling bertanggungjawab terhadap urusan pilihanr aya di Malaysia. Kuasa dan kebebasan SPR daripada pengaruh luar adalah termaktub di dalam perlembagaan negara sejak 1957.

Maka, selain daripada penggunaan dakwat kekal, SPR juga bertanggungjawab dalam memainkan peranan bagi memastikan kempen yang lebih adil kepada kesemua parti.

Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya telah pun ditubuhkan suatu ketika dahulu dan mereka pernah mengesyorkan kepada SPR supaya menyediakan suatu garis panduan atau ‘code of conduct’.

Garis panduan ini merangkumi 4 asas yang penting bagi memastikan suatu bentuk pilihan raya yang adil dan saksama. Antaranya adalah sekatan ke atas kuasa sebagai badan eksekutif, jentera kerajaan, perbelanjaan menggunakan wang kerajaan dan penggunaan media.

Saya merasa kesal dengan siri-siri pilihan raya yang dilihat agak tempang. Di antaranya penggunaan istilah ‘kerajaan’ dan ‘parti’ yang sudah pasti mempunyai makna dan kesan psikologi yang berbeza.

Parti Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat tidak seharusnya menggunakan istilah kerajaan dalam siri-siri kempen mereka kerana apabila berlakunya pilihan raya tidak ada lagi kerajaan mahupun pembangkang.

Ini yang sering kali berlaku. Malah, beberapa peruntukan besar menggunakan nama dan wang kerajaan digunakan oleh pihak ‘parti’ yang memerintah untuk meraih undi masyarakat. Jelas ini sesuatu yang melanggar etika dalam pilihan raya.

Justeru, saya ingin menggesa kepada SPR supaya meneliti cadangan berikut:

(i) Memastikan pihak yang bertanding di dalam mana-mana pilihan raya adalah mewakili ‘parti’ dan bukan ‘kerajaan’ mahupun ‘pembangkang’.

(ii) Memastikan ada sekatan terhadap penggunaan jentera kerajaan, badan-badan kerajaan sama ada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri dan di peringkat tempatan.

(iii) Memastikan tidak ada perbelanjaan dan peruntukan yang besar menggunakan kuasa dan wang kerajaan dalam meraih undi masyarakat.

(iv) Menyediakan hak sama rata bagi parti-parti yang bertanding dalam akses kepada media terutamanya media-media utama elektronik dan cetak milik kerajaan.

Perkara-perkara ini penting bagi menjamin suatu pilihan raya yang lebih adil.

Saya juga berharap agar SPR lebih tegas terhadap perkara sebegini dan memfokuskan perkara yang lebih utama dalam memastikan keadilan terhadap parti yang bertanding. - HARAKAHDAILY 23/4/2015

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Pasir Mas

Share on Myspace