Mangsa banjir belum terima wang ihsan RM500

| .

 

GUA MUSANG: Biarpun dana wang ihsan sebanyak RM57 juta disediakan namun masih ramai lagi mangsa banjir di sini tidak mendapat bantuan RM500 seperti dijanji kerajaan pusat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata bantuan wang ihsan berjumlah RM500 selewat-lewatnya diselesaikan awal Mac.

Bagaimanapun ramai mangsa banjir di Dun Galas yang ditemui memberitahu mereka belum lagi menerima bantuan wang insan RM500.

Tukang gunting di Kampung Kerinting, Rusli Abdul Wahab, 42 berkata, sehingga sekarang beliau belum menerima wang insan yang diumumkan kerajaan pusat.

Katanya, setakat ini beliau hanya menerima wang daripada Tabung Bencana PAS Pusat sebanyak RM1,000 bagi membaiki kerosakan kedai guntingnya akibat banjir akhir Disember lepas.

“Biarpun di tempat lain ramai yang sudah dapat wang insan namun mangsa-mangsa banjir di Dun Galas belum lagi menerimanya,” katanya di sini.

Beliau mengalami kerugian kira-kira RM3,000 apabila kedai gunting dan segala peralatan rosak teruk ditenggelami air bah.

Suhaidin Sudin, 44 dari Kampung Tiong juga memberitahu beliau belum menerima bantuan wang insan seperti dijanjikan kerajaan pusat.

Beliau yang berniaga menjual air kelapa baru memulakan perniagaan selepas rumah dan tempatnya berniaga rosak ditenggelami limpahan Sungai Galas.

“Bagaimanapun saya bersyukur apabila PAS tampil membantu membolehkan saya memulakan semula perniagaan menjual air kelapa di hadapan rumah,” ujarnya.

Penghulu Rancangan Pemulihan Tanah Sungai Terah, Zulkipli Yazid berkata sebahagian besar mangsa banjir di Dun Galas belum menerima wang insan RM500.

Kata beliau sekarang sudah masuk bulan keempat, namun bantuan kewangan daripada kerajaan pusat belum lagi diterima mangsa banjir.

“Begitu juga pembinaan rumah kekal hanya dilaksanakan kerajaan negeri di Dun Galas. Sekarang sebanyak 18 rumah sedang dibina.

“Pemimpin Umno mendakwa tidak ada tanah untuk dibina rumah kekal, sebaliknya seluas 28 ekar sudah disediakan kerajaan negeri di Tanah Putih.

“Lebih pelik lagi 1,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat di Bandar Baru Gua Musang dibiarkan tanpa penghuni biar pun sudah hampir dua tahun siap,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 23/4/2015

Share on Myspace