PRK Rompin: Petugas yakin undi PAS meningkat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Jentera PAS yakin para pengundi di Unit Peti Undi (UPU) Endau akan memihak kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang akan berlangsung pada 5 Mei ini.

Pada PRU-13 lalu UPU Endau di dalam Dun Pulau Tioman menyebelahi BN dengan mendapat majoriti undi sebanyak 200 daripada 1500 jumlah pengundi, sebaliknya PAS memperoleh undi lebih banyak pada kerusi parlimen.

Ketua UPU Endau Hamdan Mohamad optimis PAS akan memperoleh undi kali ini dengan pelbagai isu termasuk isu GST yang kini dirasai oleh segenap rakyat termasuklah pengundi di kawasan ini.

"Rata-rata pengundi yang ditemui merungut tentang kenaikan harga barang hasil daripada pelaksanaan GST. Lagipun majoriti lepas yang agak tipis bisa untuk PAS merampas UPU ini," katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, PAS Kawasan Bachok yang diketuai oleh Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary turut menyediakan jenteranya bagi membantu di UPU Endau.

Beliau yang mengadakan mesyuarat pertama di sana begitu teruja apabila semangat berkobar-kobar di kalangan jentera pembantu dan tempatan bekerja gigih untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PAS pada PRK ini.

"Keyakinan ini berasaskan kepada rekod dan keadaan semasa kerajaan pimpinan Umno barisan nasional yang terus melaksanakan dasar-dasar yang membebankan rakyat.

"Rakyat dan pengundi dah mula sedar dan tugas jentera kita hanya terang dan sampaikan maklumat kepada mereka supaya lebih mendalam kefahaman mereka terhadap isu-isu khasnya isu ekonomi negara yang terus menghimpit dan menyusahkan rakyat." ujarnya.

PAS menaruh harapan kepada calon tempatan di PRK Rompin iaitu Ustaz Nazri Ahmad yang akan membawa suara generasi muda bagi memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pahang dijangka akan mengundi di Sekolah Agama Rakyat LKTP Keratong 5, Felda Keratong 5 Bandar Tun Razak.

PRK yang akan berlangsung pada 5 Mei ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan calon BN iaitu pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hassan Arifin. – HARAKAHDAILY 23/4/2015

Share on Myspace