JPJ ulas pelakon bawa tayar celup ke kementerian

BERNAMA | .

(Foto hiasan)

PUTRAJAYA: Pengguna jalan raya tidak digalak menggunakan tayar celup kerana ia tidak dijamin selamat dan mudah haus berbanding tayar asli, demikian nasihat Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Ir Mohamad Dalib.

Beliau berkata penggunaan tayar celup boleh menyebabkan jangka hayat tayar lebih pendek daripada tayar asli.

Pengarah kejuruteraan automotif JPJ itu berkata tayar baharu mempunyai jaminan dan hanya akan haus dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

"Definisi tayar celup ialah tayar lama yang dicelup dan dikitar semula serta dijual kepada pengguna dengan harga mengikut jenis dan saiz.

"Ia dijual dengan harga murah sekitar RM80 hingga RM200 dan tidak mustahil akan naik lagi (mengikut kualiti) hingga mencecah RM1,000," katanya dalam satu pertemuan dengan BERNAMA di ibu pejabat JPJ, di Putrajaya.

Mohamad berkata penggunaan tayar celup juga boleh menyebabkan pemandu berasa tidak selesa kerana tayar itu akan berbunyi bising dan memberi kesan rasa hentakan ketika pemanduan, katanya.

Selain itu, Mohamad berkata penggunaan tayar celup boleh mengganggu pemanduan kenderaan selain merosakkan komponen enjin kereta.

Beliau diminta mengulas tindakan seorang pelakon membawa tayar celup ke Kementerian Pengangkutan pada 14 April lepas, atas dakwaan penggunaan tayar tersebut membahayakan nyawanya.

Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando, mendakwa beliau nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya hampir dilanggar sebuah kenderaan yang mengelak daripada serpihan tayar celup di atas jalan di Hulu Klang pada 13 April lepas.

Pelakon berusia 40 tahun itu menyerahkan tayar celup terbabit bagi dijadikan bukti agar Kementerian Pengangkutan boleh menjalankan kajian dan siasatan.

Mohamad berkata walaupun tayar celup tidak digalakkan, pembuatannya diiktiraf oleh negara luar seperti New Zealand, Australia dan Taiwan.

"Saya menegaskan, pengguna harus bijak dalam memilih sesuatu tayar termasuk tayar celup demi keselamatan ketika memandu kerana kuasa membeli terletak pada diri pengguna itu sendiri.

"Pengguna harus mendapat pengetahuan dan diberi pendedahan awal mengenai pemilihan tayar kenderaan yang berkualiti sebelum membelinya...jika tidak, mereka akan membelinya tanpa sebarang pengetahuan dan yang rugi adalah pengguna sendiri," katanya.

Mohamad berkata pada masa ini, penggunaan tayar asli lebih berkualiti dan dijamin selamat kerana ia mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi walaupun kosnya agak mahal.

Mengikut piawaian JPJ, beliau berkata sesuatu tayar itu harus mempunyai ukurun tidak kurang 1.6mm.

Pada 23 Mac lepas semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata statistik kemalangan jalan raya 2013 yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menyatakan hanya lapan daripada 30,458 kes kemalangan jalan raya membabitkan masalah tayar celup. - Bernama

Share on Myspace