Khalid harap operasi Hospital Shah Alam tidak tertangguh

HARAKAHDAILY | .

(Lakaran Hospital Shah Alam)

KUALA LUMPUR: Operasi Hospital Shah Alam yang dijangka bermula sepenuhnya menjelang 2016 disambut baik kerana membolehkan penduduk Lembah Klang menikmati kemudahan kesihatan lebih baik.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berharap projek itu berjaya disiapkan dan beroperasi pada waktu ditetapkan serta tidak tertangguh seperti sebelum ini.

“Kementerian menyebut hospital itu siap sepenuhnya, pada 1 Januari 2016. Saya sedikit khuatir dan kurang yakin walaupun itu yang diharapkan sejak sekian lama.

“Lihat sahaja rekod sebelum ini, tarikh jangka siap ditukar lebih empat kali atas ketidakcekapan kontraktor, tidak mustahil perkara sama berulang," katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam yang memberi jaminan Hospital Shah Alam siap sepenuhnya menjelang 2016 berikutan status projek yang kini 99 peratus.

Projek pembinaan Hospital Shah Alam bermula November 2007 dengan kos asal RM482.6 juta yang sepatutnya siap Jun 2011.

Bagaimanapun,ia tergendala atas kegagalan kontraktor pertama dan terpaksa dihentikan bagi mendapatkan kontraktor baharu.

Menurut Khalid, perkara itu amat mengecewakan kerana menyebabkan kezaliman terhadap warga Shah Alam dan Klang.

Ini, ujarnya kerana mereka terpaksa bersesak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang tidak mampu lagi menampung kebanjiran pesakit.

“Ini adalah kegagalan Barisan Nasional memenuhi tanggungjawab kepada rakyat Selangor. Pengurusan dan pentadbiran kewangan yang tidak cekap kerana projek ini diberikan kepada syarikat tidak layak, tidak berpengalaman serta diberikan secara rundingan terus.

“Apabila projek ini bermasalah, Kerajaan Persekutuan sekali lagi gagal tangani dengan cekap sehingga kerja di tapak tergendala hampir dua tahun,” katanya.

Share on Myspace