PAS tidak boleh larut, hilang identiti dalam PR

HARAKAHDAILY | .

IKLIM politik dalaman PAS semakin menarik untuk dihalusi terutama menjelang Muktamar Tahunan PAS pada awal bulan Jun akan datang. Bukan sahaja dilihat kepada persaingan dan pertembungan untuk mengisi ruang kepimpinan parti tetapi juga dilihat kepada siapakah yang akan terpilih. Bermula kerusi Presiden parti, Timbalan Presiden, 3 Naib Presiden dan 18 AJK Kerja PAS Pusat.

Saya percaya, muktamar adalah medan terbaik untuk ahli-ahli PAS membuat pilihan siapakah selayaknya memimpin PAS. Berdepan dengan isu-isu terkini termasuk masalah dalaman PR dan bagaimana selayaknya posisi PAS berdepan kemelut dalaman PR.

Ahli PAS semakin matang untuk memilih kabinet PAS yang kuat dan mantap ke arah mempersada PAS di pentas politik tanahair. Bukan lagi PAS yang pemimpinnya telah hilang keyakinan kepada kemampuan parti sendiri lalu 'beriman' bahawa PRlah yang menyebabkan PAS masih relevan sehingga hari ini.

PAS telah menempuh pahit maung perjuangan dan membesar dengan dasar dan prinsip yang tidak pernah berubah. Sedang PR baru wujud beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanalah ada pimpinan tertentu dalam PAS menganggap bahawa kehebatan dan kejayaan PAS adalah kerana PR. Tanpa PR, PAS tidak akan ke mana dan tidak berjaya sehingga tahap ini.

Sikap sebegini adalah sikap memandang rendah pada keupayaan parti sendiri. Pemimpin sebegini adalah pemimpin yang mengalami sindrom atau penyakit inferiority complex yang serius.

PR adalah gabungan tiga parti yang berkerjasama dalam urusan politik pula tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Itulah terjemahan kepada 'Tahaaluf Siasi'. Setiap parti mempunyai dasar dan prinsip perjuangan masing-masing. Kerjasama hanya melibatkan perkara politik yang disepakati. Adapun dasar dan prinsip perjuangan kekal menjadi hak parti masing-masing.

Justeru itu satu kaedah telah dimaterikan antara ketiga-tiga parti iaitu "Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju" yang pastinya terpakai pada kes-kes silang dasar dan prinsip perjuangan setiap parti.

Selama PR bergerak secara harmoni, saling menghormati hak dan dasar parti masing-masing maka ia adalah yang terbaik dan tentu sahaja ia menjadi tamparan hebat kepada Umno dan BN.

Namun apabila PR dilanda krisis dalaman yang berpunca dari sikap 'parti kami adalah boss' , 'langkah kami mesti semua parti lain kena ikut', 'memaksa supaya parti meninggalkan dasar perjuangan atas alasan demi PR' dan sebagainya, maka pemimpin PAS tidak boleh hilang keyakinan kepada parti sendiri.

PAS mesti terus kekal berpaksi kepada dasar dan manhaj perjuangan Islam yang dibawanya. Sebagaimana PR kekal sebagai gabungan tiga parti yang terikat dengan syarat. PR bukan satu parti dan PAS tidak boleh larut dan hilang identitinya dalam PR.

PAS mesti kekal sebagai PAS yang membawa dasar dan manhaj perjuangan Islam. Ianya tidak boleh dileburkan semata-mata kerana PR. Sebaliknya PR mesti mengiktiraf dan menerima baik dasar dan manhaj perjuangan PAS termasuk membenarkan PAS memperjuangkan Islam dan mendaulatkannya di atas tanahair tercinta ini.

Jika PR menolak atau menentang perjuangan PAS, maka bukan saja PAS mesti terus kekal atas dasar perjuangannya tanpa jejas tetapi pemimpin PAS juga tidak seharusnya hilang pedoman bagai anak kehilangan ibu. Lalu berkata bukan-bukan yang tidak selayaknya kepada parti sendiri. Sepertinya PAS akan berkubur tanpa PR.

Kepimpinan Ulamak yang menerajui PAS hari ini bukan anti PR bagai yang dituduh. Sebaliknya ia adalah fitnah jahat yang dikitar semula. PR terbentuk melalui prinsip Tahaaluf Siasi. Tahaaluf Siasi diluluskan oleh para alim ulamak yang menerajui PAS.

Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang antara pencetus ijtihad politik ini apabila beliaulah yang menyediakan kertas kerja berjudul "PAS: Tahaaluf Siasi" sejak awal 80-an lagi dan PAS telah melalui pelbagai corak pengalaman bertahaaluf dengan parti-parti politik yang lain. Segalanya bermula dengan ijtihad tersebut.

Justeru itu menganggap ulama anti PR khasnya terhadap Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah satu tanggapan yang salah dan keterlaluan.

Apa yang berlaku ialah para alim ulama kita melalui Multaqa Ulamak I dan II mahupun Muktamar Dewan Ulamak Pusat, adalah pertegaskan bahawa dalam apa jua situasi, sama ada di dalam atau di luar Tahaaluf Siasi, PAS mesti terus beristiqamah membawa dasar dan manhaj perjuangan Islamnya.

Jika PR boleh menerima, maka itu yang selayaknya dan jika PR menolaknya maka PAS tidak boleh hilang rentak perjuangan. Para pemimpinnya tidak wajar "merintih" dan "melutut" mohon diterima sebaliknya pemimpin PAS mesti bangkit menjulang izzah (kemuliaan) perjuangan suci yang didukung.

Ingat pesan Saidina Umar al-Khattab Rha.

نحن قومٌ أعزَّنا اللهُ بالإسلام مهما ابتغينا العزةَ بغيره أذلَّنَا الله

"Kita adalah suatu golongan yang telah dikurniakan kemuliaan dan kehebatan dengan Islam. Tatkala kita mencari kehebatan selain dari Islam nescaya penghinaan Allah swt menimpa kita".

Dinamika PAS meredah cabaran zaman adalah banyak bergantung kepada ketegasan PAS memperjuangkan Islam dan berkeupayaan membentuk satu set kepimpinan yang mampu berkerja dan berjuang dalam satu manhaj. Bukan set kepimpinan yang longgar ketaatan kepada pucuk pimpinan, hambar wala' (kesetiaan) kepada jamaah dan sering mencetus masaalah dalam jamaah pula menyanggahi pucuk pimpinan secara terbuka dan tidak beradab. - HARAKAHDAILY 24/4/2015

Nasrudin bin Hassan
AJK PAS Pusat

Share on Myspace