Aktivis ucap takziah pemergian bapa Adam Adli

| .

 

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial merakam ucapan takziah dan melahirkan rasa sedih atas pemergian bapa kepada Adam Adli, Abdul Halim Abdul Hamid pagi tadi akibat kemalangan jalan raya malam tadi.

Mereka berasa terkesan dengan pemergian Abdul Halim, 55, yang mesra dipanggil ayah dalam kalangan aktivis dan anak muda.

Allahyarham meninggal dunia pagi tadi selepas mengalami kecederaan serius akibat terlibat dalam kemalangan motosikal di Penaga, Pulau Pinang malam tadi.

"Sekarang kita dalam proses pemakluman kepada Balai Polis Trafik Kepala Batas. Selepas itu beberapa urusan teknikal oleh pihak Hospital.

"Setakat perbincangan bersama mama, Adam dan keluarga, jenazah ayah akan dimandikan di hospital memandangkan keadaan internal bleeding yang banyak.

"Usai nanti akan dibawa singgah sekejap di rumah kemudian ke Masjid Abdullah Ahmad Badawi, Kepala Batas utk solat jenazah (sebelum atau selepas solat Jumaat) hari ini.

"Almarhum ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Permatang Bertam, Kepala Batas in shaa Allah.

"Semoga Allah permudahkan segala urusan dan perjalanan terakhir seorang ayah. Al fatihah. Allahul musta'an," tulis Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi di facebooknya dua jam yang lalu.

"Innalillahi wainna ilaihirojiuun. Rasa seperti kehilangan seorang 'Ayah'. Ramai kehilangan Ayah Halim Hamid. Kami dalam perjalanan, Ayah," tulis aktivis Nashita Md Noor yang juga isteri kepada OKZ12, Bad Latif yang kini di Penjara Tapah.

"Al Fatihah Halim Hamid yang membahasakan dirinya ayah, telah kembali ke rahmatullah pagi tadi kerana kemalangan.

"Ujian berat untuk Adam Adli, Amir Amin yang kehilangan bapa yang memahami," demikian tulis aktivis Ronasina Fandi yang juga kartunis.

"Al fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Kami sangat-sangat sedih dengan berita ini. Salam takziah buat Adam Adli sekeluarga. Semoga tabah dengan dugaan ini," tulis jurugambar akhbar Suara Keadilan, Yuisri Yuis pula.

Abd Halim merupakan penyokong kuat kepada Adam yang merupakan aktivis pelajar dan beberapa kali ditangkap.

Sewaktu hayatnya, Abd Halim sering menyertai himpunan aman dan aktiviti sosial dan kebajikan, salah satunya Dapur Jalanan yang memberi makanan percuma kepada gelandangan di Jalan Panggung pada setiap petang Ahad. - HARAKAHDAILY 24/4/2015

 

Share on Myspace